
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi memberangsangkan apabila mengutip tiga mata berharga selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 pada Grand Prix Amerika Syarikat (GP AS), awal pagi tadi.
- Terjatuh pada sesi kelayakan pertama (Q1) dan terpaksa bermula dari petak ke-25.
- Mempamerkan semangat juang tinggi serta tunggangan konsisten untuk memintas pelumba handalan.
- Mengumpul sembilan mata dan menghuni kedudukan ke-14 daripada 27; akan bersaing di GP Sepanyol, Litar Jerez pada 24 April.
Pelumba berusia 18 tahun negara itu bermula dengan detik sukar dalam pusingan ketiga selepas terjatuh pada sesi kelayakan pertama (Q1), yang menyebabkan beliau terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-25.
Namun, pelumba pasukan AEON-Credit MT Helmets-MSi kelahiran Kuala Terengganu itu mempamerkan semangat juang yang tinggi serta tunggangan konsisten dari kedudukan tercorot untuk memintas beberapa pelumba handalan sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok penamat pungutan mata.
Perlumbaan dimenangi pelumba Itali Guido Pini (Leopard Racing), diikuti pendahulu kejuaraan Maximo Quiles (CFMOTO Valresa Aspar Team) di tempat kedua manakala Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) melengkapkan podium.
Keputusan diperoleh di Litar Austin itu menyaksikan Hakim Danish kini mengumpul sembilan mata dan menghuni tempat ke-14 daripada 27 pelumba dalam carta Kejuaraan Dunia Moto3.
Pelumba muda negara itu bakal meneruskan saingan pada GP Sepanyol di Litar Jerez pada 24 April ini. – BERNAMA