Cristiano Ronaldo miliki 25 peratus saham Almeria

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo/REUTERS

MADRID, 27 Februari – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo memperoleh pegangan sebanyak 25 peratus dalam kelab divisyen dua Sepanyol, UD Almería, menurut kenyataan kelab itu pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cristiano Ronaldo miliki 25 peratus saham dalam UD Almería melalui syarikatnya, CR7 Sports.
  • Pelaburan ini sebahagian daripada strategi pengembangan antarabangsa diterajui SMC Group.
  • Butiran kewangan urus niaga tidak didedahkan oleh kelab.
  • Ronaldo yakin dengan potensi pertumbuhan Almería dan mahu bersama barisan kepimpinan menyokong fasa baru.

Penyerang berusia 41 tahun itu, yang pernah beraksi selama sembilan tahun bersama Real Madrid dan muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab berkenaan, membuat pelaburan tersebut menerusi syarikat miliknya, CR7 Sports.

Almeria yang tersingkir daripada La Liga musim 2023-24 dan diambil alih oleh syarikat berpangkalan di Arab Saudi, SMC Group pada 2025, bagaimanapun tidak mendedahkan butiran kewangan urus niaga berkenaan.

Menurut kenyataan kelab, perjanjian itu adalah sebahagian daripada usaha pengembangan antarabangsa yang diterajui presiden Mohamed Al Kereiji melalui pegangan perniagaannya, SMC Group.

Ronaldo yang kini beraksi bersama kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Nassr sejak 2023, menyatakan keyakinan terhadap potensi Almeria.

“UD Almeria adalah kelab Sepanyol yang mempunyai asas kukuh dan potensi pertumbuhan yang jelas. Saya berharap dapat bekerjasama dengan barisan kepimpinan kelab untuk menyokong fasa pertumbuhan baharu ini,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi Almeria.

Almeria yang memiliki satu gelaran divisyen dua dalam kabinet trofi mereka, kini berada di tangga ketiga carta divisyen kedua Sepanyol. – REUTERS