
KUALA LUMPUR, 8 Mac- KL City FC meneruskan momentum kemenangan apabila menundukkan Melaka FC 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam tadi, sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super dengan 39 mata.
- KL City membuka perlawanan dengan intensiti tinggi, beberapa percubaan berbahaya oleh Gomes, Josue dan Ruiz menguji penjaga gol Melaka.
- Kamal Azizi Zabri menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-40.
- Melaka bangkit dengan gol penyamaan Pak Kwang Il pada minit ke-86 hasil bantuan Che Rashid.
- Safawi Rashid menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan; jurulatih KL City akui pasukan bernasib baik.
Skuad bimbingan Risto Vidakovic memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi dengan beberapa percubaan berbahaya daripada Antonio Gomes, Paulo Josue dan Victor Ruiz yang menguji ketangkasan penjaga gol Melaka FC, Samuel Somerville.
Do Donghyun hampir mengejutkan tuan rumah apabila percubaannya hanya menggegarkan palang gol.
Gol pembukaan KL City hadir pada minit ke-40 hasil jaringan Kamal Azizi Zabri.
Babak kedua menyaksikan kebangkitan Melaka FC melalui jaringan Pak Kwang Il pada minit ke-86 hasil bantuan Che Rashid Che Halim, namun gol kemenangan KL City disempurnakan Safawi Rashid pada minit kecederaan.
Jurulatih KL City, Risto Vidakovic berkata pasukannya bernasib baik kerana berjaya menjaringkan gol pada saat akhir meskipun menghadapi kesukaran.
“Walaupun menghadapi kesukaran, saya rasa kami bermain dengan baik dan mewujudkan banyak peluang untuk menamatkan permainan lebih awal. Pada bila-bila masa sahaja kita boleh dibolosi dan situasi menjadi rumit.
“Kami bernasib baik kerana berjaya menjaringkan gol pada saat akhir. Hari ini, nasib menyebelahi kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Melaka FC, E. Elavarasan berkata pasukannya cuba bertahan sebaik mungkin selepas gol penyamaan, namun perlawanan tetap sengit hingga minit akhir.
“Ketika kedudukan satu sama satu, memang kami arahkan pemain tambahan untuk bertahan, tetapi momentum permainan memihak kepada mereka selepas gol penyamaan.
“Dalam beberapa minit terakhir, kami cuba bertahan, kadang-kadang kita boleh menang, kadang-kadang hanya seri. Perlawanan ini sangat sengit,” katanya.
Kekalahan itu mengekalkan Melaka FC di tangga ke-12 Liga Super dengan 11 mata.