
KOTA BHARU, 5 Februari – Kelantan The Real Warriors (KTRW) memperkukuhkan jentera serangan pasukan dengan mendapatkan khidmat pemain import dari Perancis, Enzo Celestine bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.
- Kelantan The Real Warriors mengesahkan tandatangan Enzo Celestine sebagai pemain import baharu untuk memperkuat serangan.
- Celestine dijangka berdebut dalam Piala Cabaran menentang Imigresen FC pada Jumaat ini.
- Pengalaman Eropah dan Asia, termasuk Liga Romania dan Liga 2 Indonesia, dijangka tingkatkan ketajaman jaringan KTRW.
- Pengurusan harap Celestine menjadi penyerang utama untuk bantu perbaiki kedudukan liga pasukan.
Kelab itu memaklumkan Celestine telah menandatangani kontrak bersama pasukan dan dijangka membuat penampilan sulung dalam aksi Piala Cabaran menentang Imigresen FC pada Jumaat ini.
Menurut kenyataan KTRW, pemain berusia 28 tahun itu akan digandingkan bersama penyerang tempatan dalam usaha memperbaiki kedudukan pasukan dalam carta Liga Super.
Celestine memiliki pengalaman luas beraksi di Eropah apabila pernah menyertai beberapa kelab di Perancis selain beraksi dalam liga utama Romania bersama Arges Pitesti.
Pemain berketinggian 1.90 meter itu turut mempunyai pengalaman beraksi di Asia, termasuk dalam Liga Indonesia bersama Persipura Jayapura, Persibo Bojonegoro dan Persikad Depok.
“Beliau menunjukkan konsistensi serta ketajaman di hadapan gol sepanjang beraksi dalam Liga 2 Indonesia dan diharapkan mampu menjadi penyerang utama pasukan,” menurut kenyataan itu.
Ketika ini, KTRW berada di kedudukan ke-10 Liga Super selepas mengharungi 16 perlawanan dengan mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan, tiga seri dan sembilan kekalahan.