Bukan sekadar hero MLBB, Ryzz cemerlang SPM 9A

Ryzz/Foto IG teamflash.gg

KUALA LUMPUR, 1 April– Atlet e-sukan negara, Muhammad Faiz Faryzal Mohammad Farith membuktikan bahawa penglibatan aktif dalam dunia e-sukan bukan penghalang untuk meraih keputusan cemerlang dalam akademik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ryzz, Muhammad Faiz, berjaya memperoleh keputusan SPM 9A.
  • Pemain Team Flash dan figura terkenal dalam Mobile Legends: Bang Bang.
  • Hantaran Instagram memuji disiplin dan pengorbanan masa serta tenaga di sebalik kejayaan akademik.
  • Kejayaan mencerminkan keseimbangan kerjaya e-sukan dan pelajaran, menepis persepsi negatif serta menginspirasi golongan muda.

Muhammad Faiz atau lebih dikenali sebagai Ryzz, berjaya memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Pemain bagi pasukan Team Flash itu merupakan figura yang tidak asing lagi dalam arena Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

“Tahniah, Ryzz! Pencapaian 9A berjaya diraih.”

“Di sebalik pengorbanan masa dan tenaga, terserlah disiplin jitu yang jauh lebih hebat daripada sekadar aksi di arena permainan,” menurut hantaran di Instagram teamflash.gg.

Kejayaan itu mencerminkan keseimbangan antara komitmen tinggi terhadap kerjaya profesional e-sukan dan tuntutan pelajaran.

Ini sekali gus menepis persepsi negatif segelintir pihak terhadap industri permainan video, selain menjadi sumber inspirasi buat golongan muda untuk mengejar impian dalam kedua-dua bidang secara serentak.