
Sydney, 17 Mac – Bekas pemain tenis Australia, Marinko Matosevic, dikenakan larangan selama empat tahun selepas didapati melanggar peraturan anti-doping antara 2018 hingga 2020.
- Pada mulanya beliau menafikan semua pertuduhan, tetapi kemudian mengaku terlibat dalam amalan doping darah.
- Tribunal bebas mendapati lima pelanggaran, termasuk penggunaan doping darah dan membantu pemain lain melakukan kesalahan sama.
- Beliau juga memberi nasihat cara mengelak ujian positif serta menggunakan dan memiliki clenbuterol.
- Digantung daripada acara yang disahkan ITIA termasuk ATP, WTA dan Tennis Australia, serta dilarang melatih hingga 2030.
Bekas pemain ranking ke-39 dunia itu, yang sebelum ini menjadi jurulatih kepada pemain Australia, Chris O’Connell dan Jordan Thompson, pada awalnya menafikan semua pertuduhan.
Bagaimanapun, beliau kemudian mengaku terlibat dalam amalan doping darah sejurus sebelum perbicaraan dijadualkan berlangsung, menurut Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA).
Tribunal bebas mendapati Matosevic melakukan lima pelanggaran peraturan anti-doping, termasuk penggunaan kaedah terlarang melalui doping darah serta membantu pemain lain melakukan perbuatan sama.
Beliau juga didapati memberi nasihat kepada pihak lain mengenai cara mengelak ujian positif selain menggunakan dan memiliki bahan terlarang, clenbuterol.
Clenbuterol merupakan ubat yang biasanya digunakan untuk merawat asma dan masalah pernafasan, namun sering disalah guna sebagai bahan meningkatkan prestasi.
Susulan itu, Matosevic digantung daripada menyertai sebarang acara atau aktiviti tenis yang disahkan ITIA termasuk kejohanan ATP, WTA dan Tennis Australia sehingga tahun 2030, selain dilarang melatih atau bekerja dengan mana-mana pemain.