BATC 2026: Skuad lelaki tewas di peringkat suku akhir

Beregu negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tewas kepada pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi. Foto/ Badminton Asia

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Kempen skuad lelaki negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao, China berakhir di peringkat suku akhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad lelaki tewas 0-3 kepada Jepun dan tersingkir di peringkat suku akhir BATC 2026 di Qingdao.
  • Kekalahan itu menyebabkan Malaysia hilang slot layak automatik ke Piala Thomas 2026.
  • Prestasi perlawanan: Justin Hoh, beregu Arif Junaidi-Yap Roy King dan Aidil Sholeh semua tewas.

Skuad negara tewas 0-3 kepada Jepun, sekali gus gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi 2024.

Kekalahan itu turut menyaksikan Malaysia terlepas slot kelayakan automatik ke Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan memandangkan hanya empat pasukan terbaik layak secara merit melalui kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, pasukan negara masih berpeluang layak sebagai antara tiga pasukan terbaik dalam kalangan negara yang tidak layak menerusi kejohanan benua.

Terdahulu, perlawanan suku akhir bermula dengan aksi perseorangan utama apabila Justin Hoh memberikan tentangan sengit sebelum tewas kepada Yushi Tanaka 17-21, 22-20, 11-21 yang meletakkan Malaysia ketinggalan 0-1.

Beregu lelaki negara, Arif Junaidi dan Yap Roy King turut gagal mengatasi tekanan permainan kemas gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, sebelum akur dengan kekalahan straight set 14-21, 12-21.

Kekalahan Malaysia disahkan dalam aksi perseorangan kedua apabila Aidil Sholeh, yang memulakan perlawanan dengan kemenangan set pertama, tidak mampu mengekalkan momentum sebelum tewas 22-20, 11-21, 3-21 kepada Koki Watanabe.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad lelaki negara dalam kejohanan ini ialah memenangi pingat emas pada edisi 2022 selain meraih pingat perak pada edisi 2020 dan 2024 serta gangsa pada edisi 2018. -Bernama