
BARCELONA, 7 Februari – Gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona mengesahkan penarikan diri daripada projek Liga Super Eropah pada Sabtu, sekali gus meninggalkan Real Madrid sebagai satu-satunya kelab yang masih terlibat.
- Barcelona secara rasmi memaklumkan penarikan diri mereka daripada projek Liga Super Eropah kepada pihak berkaitan.
- Presiden Joan Laporta mahu memperkukuh semula hubungan dengan UEFA dan menjauhi projek yang kontroversi itu.
- Kelab menyokong usaha perdamaian dan berharap kemungkinan kerjasama semula dengan UEFA dan EFC masih terbuka.
- Real Madrid dan penganjur A22 menuntut pampasan melebihi AS$4 bilion daripada UEFA susulan pertikaian.
Dalam satu kenyataan, kelab Catalan itu memaklumkan telah secara rasmi memberitahu syarikat Liga Super Eropah serta kelab berkaitan mengenai keputusan berkenaan.
Presiden Barcelona, Joan Laporta sebelum ini menyatakan hasrat kelab untuk memperkukuh semula hubungan dengan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), sekali gus menjauhi projek yang dilancarkan oleh 12 kelab pada 2021 namun gagal susulan tentangan hebat penyokong serta institusi bola sepak.
Enam kelab England iaitu Manchester City, Arsenal, Liverpool, Manchester United, Tottenham Hotspur dan Chelsea menjadi antara yang terawal menarik diri sejurus selepas pengumuman projek tersebut.
Manakala Atletico Madrid, Inter Milan, AC Milan dan Juventus kemudian menyusul menjelang tahun 2024.
Laporta turut menegaskan Barcelona menyokong usaha perdamaian dan percaya masih ada ruang untuk kelab yang terlibat kembali bekerjasama dengan UEFA serta badan bebas Kelab Bola Sepak Eropah (EFC).
Pada 2024, sebuah mahkamah Sepanyol memutuskan penentangan FIFA dan UEFA terhadap Liga Super telah menjejaskan persaingan bebas, manakala rayuan UEFA ditolak pada 2025.
Susulan itu, Real Madrid bersama pihak penganjur Liga Super, A22 Sports Management dilaporkan sedang menuntut pampasan melebihi AS$4 bilion daripada UEFA. -AFP