
BARCELONA, 17 Februari – Barcelona akan terus menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1) sehingga 2032 menerusi sistem penggiliran bersama litar legenda Belgium, Spa-Francorchamps.
- Barcelona kekal tuan rumah F1 hingga 2032 melalui sistem penggiliran dengan Spa-Francorchamps.
- Barcelona dianjurkan pada 2028, 2030 dan 2032; Spa menganjurkan 2027, 2029 dan 2031.
- Perjanjian hadir selepas pelaburan besar termasuk hospitaliti baharu dan pemasangan panel solar.
Penganjur sukan itu memaklumkan Litar Circuit de Barcelona-Catalunya yang sebelum ini berada pada tahun terakhir kontraknya, akan menganjurkan perlumbaan pada 2028, 2030 dan 2032.
Sementara itu, Circuit de Spa-Francorchamps akan menjadi tuan rumah bagi edisi 2027, 2029 dan 2031.
Keputusan tersebut sekali gus menamatkan spekulasi mengatakan Barcelona mungkin digugurkan daripada kalendar F1 susulan perancangan menjadikan Madrid sebagai tuan rumah perlumbaan bermula 2026 dan seterusnya.
Presiden Formula One, Stefano Domenicali, berkata dia gembira Barcelona terus kekal dalam kalendar perlumbaan.
“Barcelona adalah bandar yang luar biasa dan peminat F1 di sana sentiasa menyambut kami dengan penuh semangat. Saya amat gembira kita akan terus berlumba di sana untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
F1 turut memaklumkan perjanjian baharu itu dimeterai selepas pelaburan besar dilakukan di litar berkenaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pembinaan kawasan hospitaliti baharu serta pemasangan panel solar di seluruh litar sebagai sebahagian inisiatif kelestarian.-AFP