BAM perjelas isu kelayakan pemain junior JET

Pusingan pertama Kumpulan A Kejohanan Junior Elite Tour (JET) akan bermula 4 Februari ini. – JHBA

KUALA LUMPUR, 1 Februari – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelaskan bahawa dasar kelayakan pemain junior dalam kejohanan Junior Elite Tour (JET) bukan diperkenalkan secara mengejut menjelang pusingan pertama Kumpulan A di Johor, yang bermula 4 Februari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM menegaskan dasar kelayakan pemain junior JET sudah dimaklumkan secara rasmi kepada semua Persatuan Badminton Negeri.
  • Dasar berkuat kuasa sejak 10 November 2025 dan mewajibkan pemain mewakili negeri tempat mereka bersekolah.
  • Pengecualian one-off dibenarkan bagi pusingan pertama di Johor untuk membolehkan pemain Selangor mewakili Putrajaya.
  • BAM menuntut pematuhan proses pelepasan rasmi untuk kejohanan akan datang demi kebajikan dan keadilan pemain.

Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada semua Persatuan Badminton Negeri (BA).

Menurutnya, pemakluman dibuat melalui pekeliling BAM dan berkuat kuasa sejak 10 November 2025 iaitu sebelum pusingan pertama Kumpulan A JET.

Jelasnya, di bawah dasar berkenaan, pemain junior diwajibkan mewakili negeri tempat mereka bersekolah, selaras dengan peraturan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Mana-mana Persatuan Badminton Negeri (BA) yang ingin menurunkan pemain yang sedang bersekolah di negeri lain perlu mendapatkan pelepasan rasmi daripada BA negeri berkaitan terlebih dahulu.

“Dalam kes yang melibatkan pusingan pertama Junior Elite Tour di Johor ini sahaja, setelah meneliti keadaan serta mengambil kira kebajikan pemain dan keluarga, saya memutuskan bahawa satu pengecualian khas secara one-off akan diberikan bagi membenarkan pemain dari Selangor mewakili Putrajaya.

“Perlu ditegaskan bahawa pengecualian ini terpakai khusus untuk pusingan ini sahaja, dan bukan satu kelonggaran menyeluruh untuk semua kejohanan JET.

“Bagi kejohanan-kejohanan akan datang, Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) hendaklah mematuhi sepenuhnya keputusan Majlis BAM dengan mendapatkan pelepasan awal daripada Persatuan Badminton Negeri yang berkaitan sebelum menurunkan pemain yang bukan dari negeri mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Badminton Selangor (SBA) atas kesediaan memberikan pelepasan demi kepentingan pemain, walaupun tiada permohonan rasmi dikemukakan sebelum ini.

Tengku Zafrul mengingatkan semua pihak agar mematuhi proses yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kekeliruan, serta memastikan pembangunan badminton negara terus berjalan secara adil, konsisten dan berteraskan kebajikan pemain.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan