BAM jalin kerjasama dengan pemain profesional

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh akui kerjasama dengan pemain profesional adalah langkah strategik menuju Sukan Olimpik 2028./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mac Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjalin kerjasama dengan pemain-pemain profesional termasuk Lee Zii Jia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkongsian BAM dengan pemain profesional termasuk Lee Zii Jia untuk perkukuh pasukan menjelang kejohanan utama.
  • Tujuan strategik ialah pastikan barisan terkuat bagi Piala Thomas dan sasaran jangka panjang Olimpik Los Angeles 2028.
  • Beberapa pemain profesional seperti Aidil Sholeh, Goh Jin Wei, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin sudah memberi komitmen.
  • Inisiatif ini bertujuan menyatukan pemain kebangsaan dan profesional untuk mengembalikan keunggulan Malaysia di pentas dunia.

Ia sebagai langkah strategik memperkukuh pasukan negara menjelang kejohanan berpasukan utama dan misi jangka panjang ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, perbincangan sudah diadakan dengan beberapa pemain profesional bagi memastikan Malaysia mampu menurunkan barisan terkuat pada pertandingan utama seperti
Piala Thomas serta Sukan Olimpik.

“Kita pun sudah membuat perbincangan bersama Lee Zii Jia dan semua pemain profesional bukan sahaja untuk Thomas Cup tetapi untuk sampai ke 2028 termasuk Sukan Olimpik.

“Dia (Zii Jia) ada beri tahu dia akan cuba untuk join awal, dia akan cuba tetapi belum ada kepastian lagi ” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini.

Selain Zii Jia, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Goh Jin Wei serta beregu profesional Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani sebelum ini sudah memberi komitmen memperkuat cabaran Malaysia pada Piala Thomas dan Uber di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Langkah proaktif berkenaan merupakan antara usaha BAM untuk menyatukan kekuatan pemain kebangsaan dan profesional demi memastikan Malaysia kembali digeruni di pentas dunia.