
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Skuad memanah para negara bakal menerima peralatan baharu selepas Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju menyediakan peruntukan bagi menaik taraf kelengkapan latihan dan pertandingan.
- Naik taraf peralatan bukan kerana kekurangan, tetapi untuk meningkatkan kualiti agar lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.
- Proses naik taraf akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh berbanding sebelum ini yang dibuat secara berperingkat.
- Kelengkapan busur seperti riser dan limbs antara komponen utama yang akan dinaik taraf bagi menyokong latihan dan pertandingan.
Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Muhammad Zul Izzi Ab Manaff berkata langkah itu bukan disebabkan kekurangan peralatan, sebaliknya bertujuan meningkatkan kualiti kelengkapan sedia ada agar lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, sebelum ini proses naik taraf peralatan dilakukan secara berperingkat, namun kali ini ia akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh memandangkan sebahagian kelengkapan sedia ada sudah agak ketinggalan.
“Pihak MSN bersetuju menyediakan bajet untuk membawa masuk peralatan baharu. Sebenarnya, bukan kerana kita sudah lama tidak membeli, tetapi kita mahu menaik taraf peralatan sedia ada.
“Selama ini kita membuat sedikit demi sedikit peningkatan, namun kali ini kita diberi kelebihan untuk melakukan naik taraf secara lebih menyeluruh kerana ada beberapa peralatan yang agak ketinggalan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di MSN, Bukit Jalil.
Beliau berkata pembelian peralatan baharu itu dijangka membantu atlet mengekalkan tahap konsistensi dalam latihan serta pertandingan.
Tanpa mendedahkan jumlah peruntukan yang disediakan, Muhammad Zul Izzi berkata antara kelengkapan yang akan dinaik taraf ialah peralatan busur, termasuk komponen utama seperti riser dan limbs.