
KUALA LUMPUR, 28 Januari – Pemain boling pekak kebangsaan, Mohd Zaidi Awang menyifatkan Anugerah Sukan Orang Pekak Kebangsaan (ASPN) 2025 sebagai medium penting dalam usaha pembangunan dan kesinambungan atlet pekak negara pada masa hadapan.
- ASPN 2025 berperanan sebagai platform pengiktirafan dan pemangkin penglibatan generasi baharu dalam sukan orang pekak.
- Sokongan kerajaan dan ibu bapa penting untuk perkembangan MSDeaf dan melahirkan lebih ramai atlet pekak masa depan.
- Tujuh anugerah utama akan disampaikan pada majlis ASPN 2025 yang dijangka dihadiri Menteri Belia dan Sukan.
Menurut atlet berusia 54 tahun itu, penganjuran anugerah tersebut bukan sahaja berperanan sebagai platform pengiktirafan kepada atlet cemerlang, malah berupaya menjadi pemangkin kepada penglibatan generasi baharu dalam arena sukan pekak.
“Saya berasa bangga apabila dinobatkan sebagai Olahragawan pada Anugerah Sukan Orang Pekak Kebangsaan pada 2024. Ia merupakan satu pentas penting untuk atlet masa depan kerana itu juga, saya akan memberi sokongan kepada pemenang seterusnya.
“Saya telah lama bersama MSDeaf dan saya tahu bahawa selain sokongan daripada kerajaan, adalah penting untuk ibu bapa tampil dan memberi sokongan terhadap anak-anak mereka untuk menyertai persatuan ini,”
“Dengan cara ini, MSDeaf akan mempunyai lebih ramai atlet pada masa hadapan, dan itulah yang kita perlukan ketika ini,” katanya pada sidang media, di sini.
Antara pencapaian utama Mohd Zaidi termasuk memenangi pingat emas di Deaflympics Munich 2023 serta membantu Trio Lelaki Malaysia meraih pingat perak pada Kejohanan Boling Pekak 2022 dan menamatkan saingan di kedudukan kelima pada Deaflympics Tokyo 2025.
Beliau dijangka menyertai temasya Sukan Orang Pekak Asia Pasifik yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada Oktober ini.
Sebanyak tujuh anugerah utama ASPN 2025 akan disampaikan merangkumi Anugerah Kepimpinan Sukan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Jurulatih Kebangsaan, Anugerah Khas, Anugerah Olahragawan Harapan Pekak Lelaki, Anugerah Olahragawan Harapan Pekak Wanita, serta Anugerah Olahragawan Pekak Lelaki dan Wanita.
Majlis berkenaan dijadual berlangsung pada Khamis ini dan akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.