
KUALA LUMPUR, 22 Februari – Atlet Muay Thai wanita negara, Nur Amisha Azrilrizal mengakui aspek kewangan adalah cabaran terbesar yang perlu dihadapinya dalam kerjaya profesional ketika ini khususnya bagi perlawanan di luar program tajaan Majlis Sukan Negara (MSN).
- Aspek kewangan menjadi cabaran terbesar, terutama bagi perlawanan profesional yang tidak mendapat penajaan penuh.
- Kos latihan dan sara hidup mencecah RM10,000 hingga RM15,000 sebulan bergantung tempoh dan lokasi latihan.
- Amisha fokus menjenamakan diri dan sasaran kejohanan antarabangsa untuk tarik minat penaja dan ubah persepsi terhadap atlet wanita.
Menurut pemenang pingat perak di Sukan SEA itu, perlawanan profesional menuntut atlet menanggung sendiri kos latihan dan persiapan termasuk pemakanan serta penjagaan mental.
Ini berbeza dengan kejohanan di bawah MSN.
“Kalau pertarungan profesional, memang tidak ditaja sepenuhnya.
“Kami kena keluarkan modal sendiri dahulu dan kadang-kadang duit kemenangan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan yang sudah dibuat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau mendedahkan kos sara hidup dan latihan mencecah antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan bergantung pada tempoh latihan dan lokasi pertandingan.
Bagi tahun ini, Amisha meletakkan sasaran untuk menembusi kejohanan antarabangsa berprestij seperti kejohanan Siri Dunia Rajadamnern (RWS) sebagai platform membina nama dalam arena Muay Thai profesional.
Beliau menekankan kepentingan penjenamaan diri seperti yang dilakukan atlet lelaki terkenal, Johan Ghazali dan Mikail Ghazali bagi menarik minat penaja besar untuk menyokong kerjaya profesionalnya.
Namun, laluan sebagai atlet wanita disifatkan lebih sukar berikutan penerimaan masyarakat terhadap sukan tempur dalam kalangan wanita masih rendah dan sering dianggap hanya sesuai untuk lelaki.
Beliau berharap kejayaannya kelak dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap atlet wanita dalam sukan Muay Thai serta membuktikan bahawa sukan tempur juga mampu menjadi platform kerjaya profesional untuk wanita.