Aruwin Salehuddin, peluncur terbaik Asia di Olimpik Musim Sejuk

Aruwin Salehuddin/Foto FB Olympic Council of Malaysia

CORTINA D’AMPEZZO, 19 Februari– Atlet ski alpine wanita negara, Aruwin Salehuddin terus melakar sejarah apabila muncul peluncur terbaik Asia dalam acara Slalom Wanita pada temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk XXV Milano Cortina 2026 pada Rabu (18 Februari).

RINGKASAN BERITA AI
  • Aruwin Salehuddin muncul peluncur terbaik Asia dalam acara Slalom Wanita di Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026.
  • Menamatkan saingan dengan masa keseluruhan 1:54.82 minit, kedudukan ke-44 daripada 53 peluncur yang complete kedua-dua larian.
  • Usaha-Aruwin mengatasi pelumba Asia lain dan mengukuhkan nama Malaysia di pentas sukan musim sejuk dunia.
  • Presiden OCM menyampaikan tahniah, menegaskan pencapaian itu memberi inspirasi kepada generasi muda negara.

Aksi yang berlangsung di Pusat Ski Alpine Tofane, Cortina d’Ampezzo, Itali itu menyaksikan Aruwin menamatkan saingan dengan catatan masa 1 minit 54.82 saat.

Beliau menduduki tempat ke-44 daripada 53 peluncur yang berjaya menamatkan kedua-dua larian.

Aruwin mengatasi empat wakil Asia yang berjaya menamatkan saingan iaitu Tallulah Proulx dari Filipina (ke-50), Wen-Yi Lee dari Chinese Taipei (ke-52) dan Sadaf Savehshemshaki dari Republik Islam Iran (ke-53).

Dalam acara berkenaan, pingat emas dimenangi oleh Mikaela Shiffrin dari Amerika Syarikat dengan catatan masa keseluruhan 1:39.10 saat.

Pingat perak menjadi milik Camille Rast dari Switzerland dengan rekod masa 1:40.60 saat manakala gangsa diraih Anna Larsson dari Sweden dengan masa 1:40.81 saat.

Aruwin, 22 tahun, merupakan atlet wanita pertama Malaysia layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk, penampilan kedua berturut-turut di pentas berprestij itu.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya amat berbangga dengan pencapaian Aruwin yang terus mengharumkan nama negara di pentas dunia.

“Bagi pihak Keluarga Olimpik Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Aruwin atas pencapaian membanggakan dalam penampilan kedua berturut-turut beliau di Sukan Olimpik Musim Sejuk.”

“Kami amat berbangga dengan beliau yang muncul peluncur terbaik Asia dalam acara ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Majlis Olimpik Malaysia.

Pencapaian tersebut sekali lagi membuktikan keupayaan atlet Malaysia untuk bersaing di pentas sukan musim sejuk dunia meskipun negara tidak mempunyai musim salji, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani mencabar batas kemampuan.