
SEPANG, 10 April– Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan taring sebenar apabila muncul terpantas pada sesi latihan keseluruhan kategori ASB1000 pada pusingan pembukaan IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
- Hafizh Syahrin catat masa terbaik 2:05.549, meletakkan beliau di landasan kuat untuk kelayakan dan perlumbaan esok.
- Zaqhwan Zaidi ketinggalan 0.354 saat, Andi Farid Izdihar lengkapkan tiga terbaik, mengukuhkan dominasi JDT Racing Team.
- Dalam kategori SS600, Kasma Daniel catat masa terpantas 2:10.498, Khairul Idham Pawi kedua 0.296 saat, Herjun Atna ketiga.
Mewakili JDT Racing Team, beliau mencatat masa terbaik 2 minit 05.549 saat sekali gus cukup untuk meletakkan dirinya di landasan awal memburu kemenangan menjelang sesi kelayakan dan perlumbaan pertama yang akan berlangsung esok.
Lebih mencuri tumpuan, rakan senegara Zaqhwan Zaidi dari IDEMITSU Honda Racing Malaysia terpaksa akur ketinggalan 0.354 saat, sekali gus menggambarkan jurang awal yang mula terbentuk.
Seorang lagi pelumba JDT Racing Team, Andi Farid Izdihar melengkapkan kelompok tiga terbaik, mengukuhkan dominasi pasukan itu di Sepang.
Dalam kategori SS600, Kasma Daniel Kasmayudin dari Hong Leong Yamaha Racing turut menggegarkan litar apabila mencatat masa terpantas 2:10.498 saat.
Sementara itu, pelumba pasukan IDEMITSU Honda Racing Malaysia, Khairul Idham Pawi pula berada di tempat kedua ketinggalan 0.296 saat, pelumba Astra Honda Racing Team, Herjun Atna Firdaus melengkapkan kedudukan tiga terbaik.
Dengan sesi kelayakan dan perlumbaan pertama yang bakal membuka tirai esok, momentum jelas memihak kepada Hafizh dan Kasma namun segala-galanya masih terbuka dalam perebutan awal kejuaraan musim ini.