
SEPANG, 12 April – Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri selepas mempamerkan dominasi dengan menyapu bersih kedua-dua perlumbaan pembukaan kategori ASB1000 pada Kejuaraan Road Racing Asia (ARRC) 2026, hari ini.
- Hafizh memimpin Perlumbaan 2 sejak awal, menamatkan perlumbaan hampir empat saat di hadapan pencabar.
- Hampir alami detik cemas pusingan terakhir apabila jentera mula kehabisan bahan api di laluan lurus belakang.
- Keito Abe tempat kedua, manakala rakan sepasukan Andi Farid Izdihar melengkapkan podium di tempat ketiga.
- Kemenangan itu melonjakkan Hafizh ke persada carta keseluruhan dengan 50 mata, meninggalkan Abe 40 dan Andi 32.
Perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu menyaksikan Hafizh langsung tidak memberi ruang kepada pencabar lain untuk menggugat kedudukannya, sekali gus memberi amaran awal dalam misi mempertahankan kejuaraan musim ini.
Menerusi Perlumbaan 2, pelumba berusia 32 tahun itu mempamerkan tunggangan bertenaga apabila memimpin saingan sejak awal perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat dengan jurang selesa hampir empat saat di hadapan kelompok pencabar.
Meskipun menguasai litar sepenuhnya, Hafizh mendedahkan beliau hampir berdepan detik cemas pada pusingan terakhir akibat masalah teknikal yang tidak dijangka.
“Saya hanya mengekalkan rentak tunggangan (pace). Seperti yang saya katakan semalam, saya kurang berpuas hati dengan kelajuan saya, namun hari ini Alhamdulillah, jentera jauh lebih konsisten sehingga pusingan kedua terakhir.
“Bagaimanapun, pada pusingan terakhir, jentera mula kehabisan bahan api di laluan lurus belakang (back straight). Saya terpaksa memperlahankan motor sedikit, namun tetap bersyukur kemenangan berganda ini berjaya direalisasikan,” katanya.
Sementara itu pelumba Jepun, Keito Abe (SDG HARC-PRO Honda) sekadar berpuas hati di tempat kedua, manakala rakan sepasukan Hafizh, Andi Farid Izdihar, melengkapkan podium di kedudukan ketiga.
Kejayaan berganda di laman sendiri itu melonjakkan Hafizh ke persada carta keseluruhan dengan kutipan mata penuh (50 mata), meninggalkan Abe (40 mata) dan Andi (32 mata).
Kemenangan itu bukan sekadar menambah koleksi trofi JDT Racing Team, malah menjadi isyarat jelas bahawa gandingan Hafizh dan jentera pasukan itu kini sukar digugat oleh mana-mana pelumba di Asia buat masa ini.