
PUTRAJAYA, 11 Februari – Anugerah Olahragawati yang dimenangi pada Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2023 dan 2024 menjadi pembakar semangat buat jaguh berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk terus melakar kejayaan lebih gemilang musim ini.
- Anugerah Olahragawati MASUM 2023 dan 2024 jadi pembakar semangat untuk Nurul Izzah terus berjaya.
- Pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk memperbaiki prestasi dan pecahkan rekod peribadi.
- Fokus kepada Piala Dunia Trek di Perth dan mempertahankan emas ACC 2026.
- Latihan dan ujian prestasi berjalan lancar, kekal disiplin walau berlatih sewaktu Ramadan.
Menurut Nurul Izzah, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaiannya sebelum ini, sebaliknya menjadi pemangkin untuk memperbaiki prestasi, termasuk memecahkan lagi catatan masa peribadi yang diraih sebelum ini.
Beliau berkata, fokusnya kini terarah kepada aksi Piala Dunia Trek di Perth, Australia, selain misi mempertahankan gelaran pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026.
Walaupun perlu menjalani latihan dan pertandingan dalam bulan Ramadan, Nurul Izzah menegaskan perkara itu bukan penghalang untuk mengekalkan tahap disiplin serta intensiti latihan.
Katanya, persiapan tetap berjalan seperti dirancang termasuk latihan trek dan program kecergasan khusus bagi memastikan prestasi berada pada tahap optimum menjelang kejohanan utama.
“Alhamdulillah latihan berjalan seperti biasa dan kami baru selesai ujian prestasi. Semuanya positif.
“Sekarang fokus lebih kepada latihan kekuatan untuk musim pertandingan. Kalau boleh saya memang mahu tingkatkan catatan masa.
“Insya-Allah saya mahu pertahankan emas ACC, tapi pada masa sama saya mahu cabar diri untuk jadi lebih laju,” katanya.
Tambah beliau, anugerah yang diterima turut menyuntik motivasi tambahan untuk terus memberikan persembahan terbaik, selain mengangkat martabat sukan berbasikal trek wanita di peringkat lebih tinggi.
Nurul Izzah sebelum ini pernah dicalonkan dalam kategori sama dan menganggap kejayaan kali ini sebagai satu pengiktirafan besar dalam perjalanan kariernya sebagai atlet universiti dan negara.
Beliau optimis, dengan persiapan rapi serta sokongan berterusan daripada jurulatih dan pasukan, sasaran untuk memperbaiki rekod peribadi dan mempertahankan gelaran mampu direalisasikan.