
LONDON, 30 Mac – Jutaan peminat bola sepak yang dijangka menghadiri Piala Dunia 2026 berdepan risiko serius berkaitan hak asasi manusia, menurut Amnesty International.
- Amnesty mendakwa Piala Dunia 2026 semakin menyimpang dari janji sebagai acara selamat, bebas dan inklusif.
- Krisis hak asasi di AS: pengusiran besar-besaran, penguatkuasaan imigresen agresif dan sekatan terhadap protes membahayakan peminat.
- Amnesty menggesa FIFA mendapat jaminan supaya penguatkuasaan imigresen tidak berlaku di sekitar stadium dan zon peminat.
- Risiko lain: Mexico berpotensi penyalahgunaan kuasa dengan 100,000 anggota keselamatan; Kanada berdepan pengusiran gelandangan.
Pertubuhan itu memberi amaran kejohanan berkenaan kini dilihat semakin menyimpang daripada janji asal sebagai acara yang “selamat, bebas dan inklusif”.
Dengan hanya kira-kira 10 minggu sebelum perlawanan bermula, pertubuhan itu menyatakan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi tuan rumah bagi sebahagian besar perlawanan sedang berdepan dengan “krisis hak asasi manusia”.
Situasi itu dikaitkan dengan pengusiran besar-besaran, penguatkuasaan imigresen yang agresif serta sekatan terhadap protes.
Ketua Keadilan Ekonomi dan Sosial Amnesty International, Steve Cockburn berkata, situasi semasa menimbulkan kebimbangan besar terhadap keselamatan dan kebebasan peminat bola sepak.
“Risiko berkaitan kejohanan ini sangat besar. Ia tidak lagi mencerminkan Piala Dunia yang dijanjikan sebelum ini sebagai selamat, bebas dan inklusif,” katanya.
Menurut Amnesty, lebih 500,000 individu telah diusir dari AS tahun lalu.
Angka itu jauh melebihi kapasiti Stadium MetLife di New Jersey yang bakal menjadi lokasi final kejohanan.
Pertubuhan itu turut mendakwa tindakan penahanan dan pengusiran oleh agensi imigresen AS menjejaskan suasana sambutan Piala Dunia serta memecah-belahkan komuniti.
Amnesty menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggunakan pengaruhnya bagi mendapatkan jaminan bahawa penguatkuasaan imigresen tidak akan dilakukan di sekitar stadium, zon peminat atau lokasi berkaitan kejohanan.
Selain itu, Amnesty turut menuntut jaminan bahawa protes aman dibenarkan serta perlindungan diberikan kepada kumpulan rentan selain menggesa sekatan perjalanan terhadap beberapa negara ditarik balik.
Dalam pada itu, pertubuhan berkenaan memaklumkan risiko hak asasi turut melibatkan negara tuan rumah lain.
Di Mexico, penempatan kira-kira 100,000 anggota keselamatan termasuk tentera dikhuatiri membawa kepada penyalahgunaan kuasa serta penindasan protes, berdasarkan rekod lampau pelanggaran hak asasi.
Di Kanada pula, Amnesty menyuarakan kebimbangan bahawa persiapan kejohanan boleh menjejaskan golongan gelandangan, khususnya di Vancouver dan Toronto.
Ia termasuk risiko pengusiran dari penempatan sementara.
Piala Dunia 2026 merupakan edisi terbesar dalam sejarah kejohanan itu, dijadual membuka tirai pada 11 Jun di Mexico City. – REUTERS