
JEDDAH, 16 Januari – Juara bertahan, Al Ittihad, terus bergelut dalam kempen Liga Pro Saudi musim ini selepas tewas 0-1 kepada Al Ettifaq di laman sendiri.
- Juara bertahan Al Ittihad tewas 0-1 di laman sendiri kepada Al Ettifaq.
- Khalid Al-Ghannam menjaringkan gol tunggal pada minit ke-54.
- Penjaga gol Predrag Rajkovic dilayangkan kad merah selepas semakan VAR.
- Al Ittihad kini di tangga keenam, ketinggalan 11 mata dari pendahulu.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada separuh masa pertama, namun gagal memecah kebuntuan. Gol Al Ittihad juga dibatalkan selepas didapati berada dalam kedudukan ofsaid.
Jaringan tunggal perlawanan hadir pada minit ke-54 apabila pemain sayap Al Ettifaq, Khalid Al-Ghannam, melepaskan rembatan tinggi ke penjuru jauh gawang untuk menewaskan penjaga gol Al Ittihad, Predrag Rajkovic.
Al Ittihad berpeluang menyamakan kedudukan menerusi Karim Benzema, namun tandukannya tersasar sebelum satu lagi percubaan pemain itu sekadar melepasi palang gol.
Situasi bertambah sukar buat tuan rumah apabila Rajkovic dilayangkan kad merah selepas semakan sistem video bantuan pengadil (VAR), susulan tindakannya mengendalikan bola di luar kotak penalti ketika cuba menghalang serangan lawan.
Al Ettifaq bagaimanapun gagal memanfaatkan sepakan percuma hasil insiden tersebut, namun berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kekalahan itu menyaksikan Al Ittihad kini berada di kedudukan keenam liga dengan 27 mata, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Al Hilal, yang mengumpul 38 mata dan masih memiliki satu perlawanan dalam tangan. – REUTERS