Aaron–Wooi Yik tersingkir awal Masters Indonesia

Beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Masters Indonesia 2026 selepas tewas kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard–Mads Vestergaard, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron Chia–Soh Wooi Yik tersingkir awal selepas tewas kepada pasangan Denmark dalam perlawanan tiga set yang ketat.
  • Denmark Lundgaard–Vestergaard tunjukkan kebangkitan dan konsistensi, menang 63 minit untuk layak ke pusingan seterusnya.
  • Beregu wanita negara juga tersingkir, manakala Wong Ling Ching mara ke undian utama selepas menang perlawanan kelayakan.

Pasangan nombor dua dunia yang juga pilihan utama kejohanan itu dikejutkan dengan kekalahan 22-20, 19-21, 16-21 dalam pertarungan tiga set yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.

Aaron–Wooi Yik memulakan perlawanan dengan baik apabila memenangi set pertama yang sengit, namun gagal mengekang kebangkitan lawan yang tampil lebih agresif dan konsisten untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set ketiga, gandingan Denmark yang berada di ranking ke-28 dunia mempamerkan permainan lebih tersusun dan kurang melakukan kesilapan sebelum mengesahkan kemenangan dalam tempoh 63 minit.

Kekalahan itu merupakan yang pertama buat Aaron–Wooi Yik kepada Lundgaard–Vestergaard selepas memenangi dua pertemuan terdahulu.

Sebagai rekod, pada edisi tahun lalu, Aaron–Wooi Yik mara ke separuh akhir Masters Indonesia sebelum tewas kepada rakan senegara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, yang kemudiannya muncul juara.

Masters Indonesia merupakan kejohanan ketiga buat Aaron–Wooi Yik musim ini selepas muncul naib juara di Terbuka Malaysia dan mara ke separuh akhir Terbuka India.

Sementara itu, beregu wanita negara, Ong Xin Yee–Carmen Ting, turut tersingkir selepas tewas kepada pasangan Jepun, Kaho Osawa–Mai Tanabe, 19-21, 18-21.

Dalam perkembangan lain, pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching, melangkah ke undian utama selepas menewaskan wakil Jepun, Kaoru Sugiyama, 21-9, 21-18 dalam aksi pusingan kelayakan.

Pemain ranking ke-43 dunia itu dijadualkan bertemu wakil Thailand, Pitchamon Opatniputh yang berada di ranking ke-36 dunia, pada pusingan pertama, esok.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan