Aaron Chia-Wooi Yik lepasi pusingan pertama BAC 2026

Aaron-Wooi Yik mudah mengatasi Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 8 April – Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik  lepasi pusingan pertama kempen Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dijadual berdepan pemenang Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi dan Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi untuk tempat ke suku akhir.
  • Leong Jun Hao tewas kepada Jonatan Christie 13-21, 8-21 dalam perlawanan perseorangan.
  • Beregu campuran Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin terpaksa menarik diri selepas Pang Ron mengalami kecederaan tangan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo itu, gandingan kedua dunia tersebut mudah mengatasi Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-15, 21-15.

Juara dunia 2022 berkenaan dijadual berdepan pemenang bagi pertemuan antara Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi dari Hong Kong dan wakil China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi untuk perebutan ke suku akhir.

Nasib berbeza pula menimpa pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao yang tewas 13-21, 8-21 kepada Jonatan Christie dari Indonesia.

Sekali gus menjadi kekalahan ketiga wakil negara itu pada pusingan awal musim ini, selepas terdahulu tewas pada pusingan pertama Terbuka India dan Jerman.

Sementara itu, beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin terpaksa menarik diri selepas Pang Ron mengalami kecederaan tangan dalam pertemuan dengan pasangan Korea Selatan Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong.-Bernama