Ajinomoto (Malaysia) Berhad Menyemarakkan Semangat Ramadan Melalui Pengagihan 20,000 Pek Bubur Lambuk

KUALA LUMPUR, 30 MAC 2026 – Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) terus menyemarakkan semangat Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 20,000 pek bubur lambuk, sebagai usaha berkongsi rezeki dan menyantuni masyarakat setempat.
Aktiviti pengagihan bubur lambuk bermula di bazar Ramadan Kampung Baru, Stadium Shah Alam dan Wangsa Maju. Sebanyak 600 pek telah diagihkan, memberi peluang kepada pengunjung menikmati hidangan tradisi sambil merasai kemeriahan semangat Ramadan.
Antara detik istimewa dalam inisiatif ini ialah program “Ramadan Disemai, Berkat Dikongsi” yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Menghimpunkan 16 sukarelawan AMB dan 40 warga USIM, program ini menyaksikan penyediaan dan pengagihan 1,100 pek bubur lambuk kepada badan bukan kerajaan (NGO), rumah kebajikan dan komuniti sekitar, sekali gus menjadikan aktiviti memasak sebagai satu usaha yang penuh makna dalam mengeratkan hubungan dan menyemai nilai keprihatinan.

Meneruskan usaha menyantuni masyarakat setempat, AMB turut bekerjasama dengan Media Mulia Sdn. Bhd. bagi menganjurkan program Kongsi Berkat Bubur Lambuk di Perumahan Awam Seri Sabah, Cheras.
Kira-kira 1,000 pek telah diagihkan bersama produk Ajinomoto, sekali gus memberi manfaat dari segi pemakanan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyediaan hidangan yang bukan sahaja enak, tetapi juga seimbang.
Di Bandar Enstek, semangat gotong-royong terus disemarakkan apabila AMB berganding bahu dengan Tabung Haji Properties dan komuniti Masjid Kariah LB Johnson.
Bersama para sukarelawan, sebanyak 1,500 pek bubur lambuk telah disediakan dan diagihkan kepada surau serta penduduk setempat, sekali gus mengeratkan hubungan antara warga kerja AMB dan komuniti melalui usaha dan tujuan yang dikongsi bersama.
Pada masa sama, AMB turut bekerjasama dengan Majalah RASA dalam program berskala besar di Dataran Merdeka, di mana sebanyak 16,000 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai.
Usaha ini turut mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records bagi penyediaan serentak 30 kawah, sekali gus mencipta satu pencapaian membanggakan dalam meraikan warisan kulinari Malaysia.
Secara keseluruhan, lebih daripada 20,000 pek bubur lambuk telah dikongsi sepanjang Ramadan, merangkumi warga kerja AMB, NGO, rumah kebajikan, masjid, komuniti PPR, badan beruniform serta orang ramai. Disediakan menggunakan produk Ajinomoto seperti AJI-SHIO®, SERI-AJI® dan TUMIX®, setiap hidangan mencerminkan komitmen AMB dalam memberikan nilai melangkaui perniagaan melalui pendekatan Penciptaan Nilai Bersama oleh Kumpulan Ajinomoto (ASV).
Melalui inisiatif ini, AMB terus membuktikan bahawa usaha yang sederhana mampu memberi impak yang besar. Seperti mana Ramadan mengingatkan kita tentang kepentingan memberi, AMB kekal komited dalam memupuk komuniti yang lebih kukuh melalui setiap hidangan yang dikongsi bersama.
