
PARLIMEN, 20 Oktober- Mekanisme peralihan daripada Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) kepada New Bar Course (NBC) termasuk bagi calon yang masih mempunyai baki percubaan dan tempoh pendaftaran sah sedang diteliti bagi memastikan kepentingan mereka tidak terjejas.
- NBC akan menggantikan CLP sebagai program latihan undang-undang.
- Penekanan lebih menyeluruh pada kemahiran praktikal dan kompetensi profesional berbanding CLP bertumpu peperiksaan bertulis.
- Struktur NBC: Conversion Course tiga bulan dan Legal Practice Postgraduate Certificate enam bulan; penilaian termasuk pentaksiran bersemuka dan lisan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata perkara itu sedang dikaji oleh pasukan petugas NBC sebelum dipertimbangkan Lembaga Kelayakan.
“Pada masa ini, NBC Task Force sedang mengkaji dan meneliti semua perkara berkaitan mekanisme peralihan daripada Peperiksaan CLP kepada NBC, termasuk dasar bagi calon yang belum lulus Peperiksaan CLP tetapi masih mempunyai baki percubaan dan tempoh pendaftaran yang sah supaya mereka tidak terjejas.
“Perkara ini akan dipertimbangkan oleh Lembaga Kelayakan selepas kajian mekanisme peralihan itu diselesaikan oleh NBC Task Force,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen Batu Gajah mengenai struktur, kaedah penilaian dan tempoh NBC berbanding CLP.
NBC yang bakal menggantikan CLP akan memberi penekanan lebih menyeluruh terhadap kemahiran praktikal dan kompetensi profesional dalam bidang perundangan.
Kulasegaran berkata NBC merangkumi dua program iaitu Conversion Course (CC) selama tiga bulan dan Legal Practice Postgraduate Certificate (LPPC) selama enam bulan.
Menurutnya, berbeza dengan CLP yang berasaskan peperiksaan bertulis, NBC turut menilai kemahiran praktikal menerusi pentaksiran bersemuka dan lisan.