Dua individu didenda kerana cuba gadai emas palsu di Kota Tinggi

Foto RTM

KOTA TINGGI, 2 Oktober – Seorang ibu tunggal didenda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Pengerang kerana cuba memperdaya pemilik pajak gadai dengan menggadaikan gelang tangan emas palsu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pengerang atas tuduhan cuba memperdaya pemilik pajak gadai dengan gelang tangan emas palsu.
  • Jameah Ibrahim mendakwa gelang seberat 23 gram sebagai emas tulen untuk mendapatkan RM8,000 pada 29 September.
  • Yussuf Harun, 62 tahun, dituduh serupa bagi gelang 9.2 gram; didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar.

Jameah Ibrahim, 48 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh cuba memperdaya pemilik sebuah kedai pajak gadai di Sungai Rengit, Pengerang dengan mendakwa gelang tangan seberat 23 gram yang mahu digadaikan adalah emas tulen.

Perbuatan itu dilakukan pada 29 September lalu dengan tujuan mendapatkan wang RM8,000.

Jameah didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, seorang buruh kasar, Yussuf Harun, 62 tahun, didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan serupa.

Yussuf didakwa cuba memperdaya pemilik pajak gadai dengan menggadaikan gelang tangan seberat 9.2 gram yang didakwa diperbuat daripada emas tulen.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada 14 September lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nursyafiq Abd Halim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.