
BATU PAHAT, 9 Jun- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan memudahkan urusan pengundi khususnya yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri (DN) Johor ke-16.
- KDN menunggu pengumuman SPR mengenai tarikh penting PRU DN Johor sebelum memuktamadkan langkah memudahkan proses pengundian.
- Penetapan hari pengundian pada Sabtu atau Ahad memberi kesan berbeza dan akan diteliti sebelum tindakan diambil.
- KDN akan melaksanakan apa sahaja langkah yang membantu pengundi Johor mengambil bahagian dalam proses demokrasi.
- Pengumuman PAS berpisah dengan BERSATU tidak memberi kesan besar kepada kekuatan Pakatan Harapan, kata menteri.
Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh-tarikh penting pilihan raya berkenaan sebelum memuktamadkan sebarang langkah bagi memastikan kelancaran proses pengundian.
“Kami akan memberi maklum balas selepas pengumuman itu sama ada hari pengundian ditetapkan pada Sabtu atau Ahad kerana ia memberi kesan yang berbeza.
“Apa sahaja langkah yang boleh membantu pengundi di Johor untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi akan kami laksanakan dan memudahkan urusan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Citra Negara Sekolah Selamat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin berkata pengumuman PAS untuk berpisah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak memberi kesan besar kepada kekuatan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata kekuatan PH ketika ini didorong oleh usaha dan prestasi kerajaan, bukan disebabkan perpecahan parti lawan.