Jenazah Prebet Muhammad Amirul akan dikebumikan di kampung halamannya di Felda Sungai Kelamah

Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi meninggal dunia pukul 9.45 pagi tadi, di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

GEMAS, 11 April – Jenazah Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, anggota tentera yang meninggal dunia 9.45 pagi tadi selepas hampir dua minggu koma akibat kecederaan serius dialami dalam satu kejadian di kem tentera di Bentong, Pahang, akan disemadikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Allahyarham berusia 24 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
  • Beliau anak sulung daripada lima adik-beradik dan dikenang sebagai rakan yang baik serta penerima Anugerah Pelajar Akademik Terbaik.
  • Kecederaan parah dilaporkan akibat insiden pukul; seorang anggota PTT rendah berusia 37 tahun didakwa menggunakan kekerasan.

Allahyarham Prebet Muhammad Amirul, 24 tahun, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

Allahyarham merupakan anak sulong daripada lima adik-beradik.

Menurut rakan-rakannya, Allahyarham adalah seorang sahabat yang baik dan pernah menerima Anugerah Pelajar Akademik Terbaik ketika menuntut di Kolej Vokasional Port Dickson.

Salah seorang rakannya, Ahmad Naqib Umar meluahkan rasa terkilan atas insiden yang berlaku ke atas Allahyarham Muhammad Amirul.

“Kami rasa agak terkilan dgn berita yang didengar dan pemergian beliau pada pagi ini. Beliau seorang yang sangat baik di Kolej (Kolej Vokasional Port Dickson), sangat ceria dan aktif mengikuti pelbagai aktiviti di kolej. Memang impian Allahyarham ingin menjadi seorang askar sejak dulu lagi. Agak sedih dengan kejadian yang menimpa Allahyarham ini. Saya berharap Allahyarham mendapat keadilan sewajarnya,” katanya ketika ditemui pemberita RTM di Masjid Kariah Felda Sungai Kelamah di sini.

Allahyarham Muhammad Amirul dilaporkan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan rapi di hospital berikutan kecederaan parah yang dialami susulan insiden pukul di Kem Batalion 25 RAMD, Bentong.

Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada tindakan seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Rendah berusia 37 tahun yang didakwa menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati berhubung penugasan yang diarahkan.