
GEORGE TOWN, 11 April – Di sebalik keputusan tidak popular kerajaan melaksanakan subsidi bersasar bahan api tahun lepas, langkah itu kini membantu Malaysia lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran krisis tenaga global, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.
- Konflik bersenjata memberi kesan langsung kepada ekonomi terbuka Malaysia dan menjejaskan pelancongan serta rantaian bekalan.
- Kerajaan perlu buat keputusan sukar seperti subsidi bersasar diesel dan RON95 untuk agihan sumber negara lebih efektif.
- Pelaksanaan subsidi bersasar membantu mengekalkan harga bahan api terkawal berbanding negara lain yang alami kenaikan mendadak.
- Kementerian menyokong usahawan kecil dengan skim pembiayaan BARAKAT dan BERKAT serta peruntukan bagi memperkukuh perusahaan mikro dan kecil.
Sim yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata konflik bersenjata yang berlaku ketika ini memberi kesan langsung kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa dan sektor pelancongan.
“Hari ini dunia bukan sekadar berhadapan perang ekonomi atau perang kata-kata, tetapi konflik sebenar melibatkan penggunaan senjata, dron dan pengeboman yang mencetuskan keadaan tidak menentu pada peringkat global.
“Walaupun rakyat di negara ini mungkin tidak merasai kesan secara langsung, hakikatnya situasi ini memberi impak kepada ekonomi termasuk sektor pelancongan dan rantaian bekalan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini malam ini.
Sim berkata kerajaan perlu membuat keputusan sukar termasuk pelaksanaan subsidi bersasar diesel dan RON95 bagi memastikan sumber negara dapat diagihkan secara lebih efektif.
Beliau berkata meskipun langkah itu menerima kritikan pada ketika itu, ia terbukti membantu negara mengekalkan harga bahan api pada kadar terkawal berbanding beberapa negara lain yang berhadapan kenaikan mendadak serta kekurangan bekalan.
“Rakyat Malaysia masih dapat menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter manakala kira-kira 400,000 kenderaan komersial menerima subsidi diesel dan membayar sekitar RM2.15 seliter.
“Ini menunjukkan keputusan yang mungkin tidak popular pada awalnya sebenarnya memberi manfaat besar dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Sim berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada kebajikan usahawan kecil dan sederhana bagi memastikan mereka terus berdaya tahan dalam keadaan ekonomi mencabar.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah memperkenalkan skim pembiayaan seperti Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) dan Biaya Festival Perniagaan Rakyat (BERKAT) bagi membantu peniaga kecil mendapatkan modal.
“Setakat ini, sebanyak RM35 juta telah diluluskan untuk membantu lebih 5,000 peniaga bazar Ramadan di seluruh negara termasuk lebih RM3.3 juta disalurkan kepada kira-kira 400 peniaga di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan sokongan berterusan kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana bagi memperkukuh ekonomi domestik dalam menghadapi cabaran global. – BERNAMA