Tuntut ilmu di celah runtuhan bangunan

Murid berdepan kesukaran untuk mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti/ Foto AFP

GAZA, 11 April – Pelajar di Semenanjung Gaza kembali ke sekolah dalam keadaan serba daif apabila sesi pembelajaran terpaksa dijalankan di bangunan rosak dan khemah sementara susulan kemusnahan besar akibat serangan Zionis Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar terpaksa belajar tanpa buku teks, peralatan asas; duduk di lantai dan berkongsi ruang perlindungan keluarga.
  • Kehilangan cita-cita pelajar seperti Reem; pendidikan tinggi kini tampak mustahil.
  • Cabaran harian: pengangkutan sukar, kewangan terhad, alat tulis sukar diperoleh, mengurangkan kehadiran.
  • Lebih 86,000 pelajar di pusat pembelajaran sementara; 165 sekolah musnah, 392 rosak, guru berjuang dengan sumber terhad.

Kekurangan buku teks, peralatan asas serta kemudahan bilik darjah menyukarkan proses pembelajaran, dengan pelajar terpaksa duduk di atas lantai di ruang yang turut dijadikan tempat perlindungan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

“Saya pernah bercita-cita menjadi pakar kardiologi, tetapi semuanya berubah. Dulu kami ada sekolah dan universiti, sekarang hanya khemah dan runtuhan,” kata seorang pelajar, Reem Al-Zaanin.

Situasi itu diburukkan lagi dengan pelbagai cabaran harian termasuk kesukaran mendapatkan pengangkutan, kekangan kewangan serta kekurangan keperluan asas.

“Keadaan kami sangat sukar dan menyakitkan. Pengangkutan susah, alat tulis sukar diperoleh dan kewangan juga terhad. Kehidupan ini memenatkan,” kata seorang lagi pelajar, Bara Al-Shurfa.

Pada masa sama, guru turut berdepan tekanan besar untuk memastikan pendidikan terus berjalan meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

“Pelajar bergelut untuk hadir ke kelas. Tiada kerusi mencukupi, tiada alat tulis atau buku. Keadaan ini langsung tidak sesuai untuk pembelajaran,” kata guru, Mohammad Al-Kafarna.

Menurut Kementerian Pendidikan Palestin, puluhan ribu pelajar kini mengikuti pembelajaran di pusat alternatif di seluruh Gaza dengan bantuan kira-kira 2,600 guru.

“Lebih 86,000 pelajar kini menerima pendidikan di pusat pembelajaran sementara yang hanya berupa khemah tanpa papan hitam atau buku teks,” kata Pengarah Pendidikan Gaza Barat, Jawad Khalil.

Pejabat media kerajaan Gaza melaporkan sebanyak 165 institusi pendidikan musnah sepenuhnya manakala 392 lagi mengalami kerosakan, sekali gus melumpuhkan sektor pendidikan di wilayah itu. – REUTERS