
KUALA LUMPUR, 11 April – Sebanyak RM30,000 disalurkan kepada Persatuan Veteran RTM (PVRTM) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan golongan veteran dalam industri penyiaran negara.
- Fahmi menyatakan komitmen menjaga kebajikan dan mengiktiraf peranan penting veteran RTM.
- Beliau mengenang pejabat awal di bawah tangga; kini ruang diperluas dan kemudahan ditambah baik.
- Cadangan mewujudkan program khas bersama RTM dan PVRTM, terutamanya sempena sambutan istimewa.
- Presiden PVRTM Zohara mengalu-alukan sokongan kementerian dan RTM serta menghargai bantuan berterusan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan serta mengiktiraf peranan penting veteran RTM sebagai sebahagian daripada sejarah penyiaran negara.
“Saya amat mengalu-alukan dan menyokong usaha rakan-rakan dalam Persatuan Veteran RTM (PVRTM). Saya masih ingat, pada peringkat awal, pejabat mereka di RTM hanya terletak di bawah tangga, namun kini kita telah memperluaskan dan menambah baik kemudahan tersebut.
“Mereka telah mendapat ruang yang lebih selesa dan saya juga akan terus memberi sokongan, termasuk dari segi kewangan, hampir setiap tahun,” katanya.
Datuk Fahmi turut mencadangkan program khas melibatkan RTM dan PVRTM diadakan dari semasa ke semasa, khususnya dalam acara sambutan istimewa di RTM.
Ini mengambil kira sumbangan golongan veteran RTM sebagai generasi awal yang telah mencorakkan landskap penyiaran negara sejak era Radio Malaya.
“Saya berpendapat kita wajar melihat potensi yang boleh dilaksanakan bersama rakan-rakan dalam Persatuan Veteran RTM (PVRTM), termasuk dengan kepimpinan Ketua Pengarah Penyiaran, Saudara Ashwad, untuk mewujudkan program khusus melibatkan veteran RTM.
“Ramai dalam kalangan mereka merupakan generasi terdahulu, malah ada yang sezaman dengan ahli keluarga saya sejak era Radio Malaya. Bagi saya, mereka adalah sebahagian daripada sejarah penting penyiaran negara.
“Justeru, bersempena ulang tahun ke-80 RTM, saya berharap beberapa program khas dapat dilaksanakan bersama Persatuan Veteran RTM,” jelas Datuk Fahmi semasa Majlis Jamuan Aidilfitri PVRTM di ibu negara.
Turut hadir, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.
Presiden PVRTM Zohara Gany Mhd. Batusha pula menyambut baik sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan RTM berkenaan.
“Saya amat bersyukur kerana RTM sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan tidak pernah melupakan golongan veteran. Dari segi sokongan kewangan, jemputan mahupun pelbagai bentuk bantuan, RTM sentiasa menyokong kami. Saya amat berterima kasih,” katanya.