Kegagalan gencatan senjata, punca ketidaktentuan rundingan Amerika Syarikat-Iran

Polis dengan kelengkapan antirusuhan bersiap sedia ketika Pakistan membuat persiapan menjadi tuan rumah rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran, di Islamabad, Pakistan. Foto REUTERS

ISLAMABAD, 10 April – Ketidaktentuan menyelubungi jadual permulaan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran di Pakistan pada Jumaat, apabila masih tiada pengumuman mengenai ketibaan wakil perunding, sedangkan rundingan sepatutnya bermula hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketidaktentuan menyelubungi permulaan rundingan AS-Iran selepas kedua-dua pihak saling menuduh gagal mematuhi gencatan senjata rapuh.
  • Pertikaian termasuk pengurusan Selat Hormuz dan serangan Israel ke atas Lubnan mengancam penyertaan Iran dan kestabilan rundingan.
  • Rundingan berisiko tinggi di Islamabad akan membincangkan pengayaan nuklear dan laluan perdagangan sambil delegasi AS diketuai Naib Presiden Vance.

Ia susulan kedua-dua pihak saling menuduh gagal melaksanakan gencatan senjata rapuh itu dengan sewajarnya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara Iran mengendalikan Selat Hormuz, yang sepatutnya dibuka semula di bawah perjanjian itu, manakala Tehran menyelar serangan Israel di Lubnan dengan menegaskan bahawa perkara itu juga termasuk dalam skop perjanjian tersebut dakwaan yang dipertikaikan Washington.

Namun begitu, Islamabad tetap meneruskan persiapan bagi rundingan berisiko tinggi itu, yang menurut sumber rasmi akan merangkumi beberapa perkara sensitif, termasuk pengayaan nuklear Iran dan kelancaran aliran perdagangan melalui selat berkenaan.

Iran memberi bayangan bahawa penyertaannya mungkin bergantung kepada penghentian serangan Israel ke atas Lubnan.

“Pelaksanaan rundingan untuk menamatkan perang bergantung kepada pematuhan Amerika Syarikat terhadap komitmen gencatan senjatanya di semua medan, khususnya di Lubnan,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei.

Namun begitu, Pengawal Revolusi Iran memberi isyarat bahawa mereka kekal komited terhadap gencatan senjata dan tidak melancarkan apa-apa terhadap mana-mana negara, menurut penyiar rasmi negara itu.

Dalam beberapa hantaran media sosial yang mencetuskan kebimbangan baharu terhadap gencatan senjata yang goyah itu, Trump pada Khamis menuduh Iran melanggar syarat perjanjian gencatan senjata mereka, berkenaan Selat Hormuz.

Satu perlima daripada bekalan minyak dunia serta sejumlah besar gas asli dan baja melalui selat itu ketika waktu aman, namun hanya sebilangan kecil kapal berjaya melintasinya sejak gencatan senjata diumumkan.

Gencatan senjata selama dua minggu itu dipersetujui bagi membolehkan rundingan antara pegawai Amerika Syarikat dan Iran, yang bertujuan menamatkan konflik yang telah mengorbankan ribuan nyawa serta menjerumuskan ekonomi global ke dalam kekacauan.

Menambahkan lagi ketidaktentuan terhadap rundingan yang dirancang itu, duta Tehran ke Pakistan pada Khamis memadam satu hantaran media sosial yang menyatakan delegasi Iran akan tiba di negara itu lewat hari berkenaan.

Bagaimanapun, Naib Presiden JD Vance dijadual mengetuai delegasi Amerika Syarikat pada Sabtu, bersama utusan khas Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner.

Perpecahan baharu dalam proses pengantaraan mula kelihatan apabila Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, turut mengkritik serangan Israel ke atas Lubnan dengan menyifatkan negara itu sebagai ‘negara barah’ dan ‘sumpahan kepada kemanusiaan’ pada Khamis malam, dalam satu hantaran yang kemudiannya dipadam beberapa jam selepas itu.

Pada Rabu, kurang 48 jam selepas gencatan senjata berkuat kuasa, Israel melancarkan serangan paling hebat ke atas Lubnan sejak Hizbullah yang disokong Iran memasuki perang Asia Barat, mengorbankan lebih 300 orang.

Selepas itu, Trump memberitahu NBC News bahawa Israel sedang “mengurangkan” serangannya di Lubnan dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah memberi jaminan kepadanya bahawa serangan itu akan menjadi lebih terkawal.

Washington berkata, medan konflik di Lubnan akan ditangani menerusi rundingan berasingan. Bagaimanapun Israel mahupun kerajaan Lubnan belum mengesahkan rundingan itu secara terbuka.