Buku panduan mediasi komuniti dilancarkan, rujukan penyelesaian konflik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April – Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Handbook Kes-Kes Mediasi Komuniti sebagai panduan komprehensif kepada mediator komuniti di seluruh negara dalam usaha memperkukuh keharmonian masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panduan sejajar usaha memperkukuh perpaduan nasional melalui penyelesaian konflik yang harmonis, inklusif dan berkesan pada peringkat akar umbi.
  • Menampilkan sembilan kluster kes seperti kejiranan, kekeluargaan, harta bersama, keagamaan, tanah, alam sekitar, perjanjian, ubah suai dan keselamatan.
  • Menggariskan sembilan teras etika mediator termasuk amanah, integriti, profesionalisme dan kerahsiaan sebagai panduan etika praktikal.
  • Memuat lima langkah utama proses mediasi sebagai panduan sistematik mediator dari peringkat pembukaan hingga mencapai penyelesaian.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan memaklumkan, buku terbitan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bertemakan ‘Mediator Komuniti Pemangkin Keharmonian Negara’ itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh perpaduan nasional melalui pendekatan penyelesaian konflik secara harmoni, inklusif dan berkesan pada peringkat akar umbi.

“Penerbitan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional melalui pendekatan penyelesaian konflik yang lebih harmoni, inklusif dan berkesan. Inisiatif ini juga dilihat sebagai alternatif kepada proses perundangan yang lebih kompleks, sekali gus menjimatkan masa dan kos.

“Handbook berkenaan menampilkan sembilan kluster kes konflik komuniti, merangkumi isu seperti kejiranan, kekeluargaan, harta bersama, keagamaan, tanah, alam sekitar, perjanjian, ubah suai bangunan dan keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sembilan teras etika mediator turut diketengahkan, termasuk nilai amanah, integriti, profesionalisme serta aspek kerahsiaan.

Turut dimuatkan ialah lima langkah utama dalam proses mediasi sebagai panduan sistematik kepada mediator bermula daripada peringkat pembukaan sehingga mencapai penyelesaian.

“Inisiatif ini sebagai langkah strategik yang mampu meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang mediasi komuniti di peringkat ASEAN selain memperkenalkan pendekatan penyelesaian konflik lebih progresif dan berteraskan nilai sejagat,” tambah kenyataan itu.

Menurut Datuk Aaron, secara keseluruhannya, handbook itu dijangka memberi impak positif kepada masyarakat dengan membantu mengurus konflik secara lebih efektif selain menyemai nilai toleransi dan meningkatkan persefahaman dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya.

Kementerian Perpaduan Negara juga terus komited memperkasakan peranan mediator komuniti sebagai ejen perdamaian, seterusnya memastikan perpaduan negara sentiasa terpelihara dan diperkukuh.