Pemandu bawah pengaruh alkohol, dadah didakwa atas tuduhan bunuh

Tertuduh, R. Saktygaanapathy di Mahkamah Majistret Klang

KLANG, 1 April – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Klang di sini hari ini atas dua pertuduhan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa menyebabkan kematian penunggang motosikal, arwah Amirul Hafiz Omar, dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
  • Pertuduhan bunuh tiada pengakuan direkodkan; kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan boleh membawa hukuman mati atau penjara panjang.
  • Tertuduh mengaku mengambil benzo dan THC; pertuduhan dadah boleh dikenakan penjara, denda atau perintah pengawasan dua hingga tiga tahun.

Tertuduh, R. Saktygaanapathy 28 tahun yang tidak diwakili peguam; dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol dan dadah hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang pada Ahad lalu.

Sebelum ini tertuduh disiasat mengikut undang-undang trafik bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kini berdepan hukuman mati susulan kejadian tragis pada Ahad lalu yang mengakibatkan kematian arwah Amirul Hafiz Omar.

Bagi pertuduhan pertama, bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret A.Khartiyayini kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33 tahun di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh mengaku bersalah memberikan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri.

Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 dan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Kes pada hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala, tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan tarikh 3 Jun depan sebagai sebutan semula kes.