
KUALA LUMPUR, 31 Mac– Malaysia perlu terus komited melaksanakan agenda reformasi bagi memperkukuh asas ekonomi negara dan mengekalkan daya saing di peringkat global.
- Percepatkan rentak reformasi untuk menghasilkan impak lebih ketara dalam ekonomi negara.
- Pertimbangkan langkah berani termasuk keputusan kurang popular demi kepentingan jangka panjang negara.
- Laksanakan perubahan secara berfasa kerana kesan tidak boleh berlaku serentak.
- Perkukuh reformasi institusi dengan penekanan ketelusan, tadbir urus dan kestabilan politik untuk memacu pemulihan ekonomi dan membanteras kemiskinan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun kerajaan telah menunjukkan keupayaan melaksanakan dasar utama, rentak reformasi perlu dipercepatkan bagi menghasilkan impak lebih ketara.
Menurut beliau, langkah berani termasuk keputusan yang mungkin kurang popular perlu dipertimbangkan demi kepentingan jangka panjang.
“Kita harus berani melakukan reformasi dan membina semula asas ekonomi.
Namun, perubahan tidak boleh diharapkan berlaku serentak dan perlu dilaksanakan secara berfasa,” katanya.
Datuk Seri Anwar menjelaskan, reformasi institusi terus diperkukuh dengan penekanan terhadap ketelusan dan tadbir urus yang baik.
Katanya, kestabilan politik semasa menjadi pemangkin kepada pelaksanaan langkah progresif termasuk pembasmian kemiskinan dan pemantapan tatakelola negara.
Beliau menegaskan, reformasi berterusan penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Perdana Menteri menyatakan demikian ketika menjadi moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 9 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Forum itu bertajuk Memacu Ekonomi Malaysia: Peranan Sektor Kewangan dan Reformasi Struktur Dalam Mendepani Ketidaktentuan Geopolitik Global.
Forum berkenaan turut menampilkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Selain itu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi turut menjadi panelis.