
ALOR SETAR, 31 Mac– Masalah gangguan bekalan air di Kuala Kedah terus membelenggu penduduk dan mereka yang terkesan menuntut tindakan segera diambil.
- Gangguan air berlarutan kerana kawasan di hujung sistem agihan, menyebabkan bekalan sering tidak sampai rumah.
- Keadaan semakin buruk ketika musim perayaan; penduduk terpaksa mencari air dan menumpang untuk mandi serta keperluan harian.
- Gangguan menjejaskan perniagaan; peniaga terpaksa guna bekas pakai buang dan menanggung kos tambahan.
- Penduduk gesa kerajaan gantikan paip uzur dan ambil tindakan segera sementara Loji Rawatan Air baru disiapkan.
Kawasan itu antara yang paling kerap terjejas kerana berada di hujung sistem agihan bekalan air paip.
Penduduk memaklumkan, masalah tersebut telah berlarutan sejak sekian lama.
Keadaan bertambah buruk setiap kali musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sematang Tepi Laut, Nor Aishah Osman menyatakan, gangguan bekalan air memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk.
“Saya duduk sini pun dekat 16 tahun dah memang masalah air ini dari dulu lagi, bukan hanya ketika musim perayaan.
Kalau bekalan terputus, penduduk terpaksa keluar mencari air termasuk menumpang di rumah ahli keluarga untuk mandi dan keperluan harian,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhamad Azim Amran menjelaskan, bekalan air amat penting terutama bagi keluarga dan kanak-kanak.
“Air diperlukan untuk basuh pakaian, memasak, mandi dan keperluan harian.
Kami sudah bertahun-tahun berdepan masalah ini dan berharap kerajaan negeri Kedah mengambil tindakan supaya ia tidak terus berpanjangan,” katanya.
Dalam masa sama, peniaga, Nor Azimah Hashim berkongsi, gangguan bekalan air turut menjejaskan operasi perniagaan.
“Kadang-kadang sedang memasak, bekalan air tiba-tiba terputus.
Kami terpaksa menggunakan bekas pakai buang kerana air tidak mengalir ke singki, sekali gus menambah kos perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kampung Tok Pasai, Bakar Mat menegaskan, kerajaan negeri Kedah termasuk Menteri Besar perlu mengambil tindakan segera.
Beliau mencadangkan penggantian paip lama kepada paip lebih besar bagi memastikan bekalan sampai ke semua kawasan.
“Paip lama perlu diganti kerana ada yang sudah uzur dan menyebabkan air tidak sampai ke rumah penduduk.
Kami harap kerajaan negeri memantau keadaan ini dan mengambil tindakan segera,” katanya.
Penduduk turut menyambut baik pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Jitra.
Namun, mereka berharap langkah penyelesaian awal dilaksanakan bagi memastikan bekalan air mencukupi sementara projek siap.
Terdahulu, media melaporkan, kerajaan negeri Kedah memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, usaha berterusan sedang dilaksanakan bagi menstabilkan bekalan air.
Beliau turut mengakui, rakyat terpaksa mencatu penggunaan air dan menyimpan bekalan bagi kegunaan harian.