
KOTA KINABALU, 31 Mac – Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir akan diteruskan dengan mendengar keterangan dua lagi saksi dalam kalangan doktor pakar pada sesi yang dijadual berlangsung April ini.
- Dr Chua Sze Huang, pakar psikiatri Hospital Mesra Bukit Padang, dijadual memberi keterangan pada Khamis ini.
- Dr Chua dijangka mengemukakan laporan psikiatri 84 muka surat mengenai keadaan Zara sebelum insiden 16 Julai.
- Laporan disediakan berdasarkan temu bual dengan ibu bapa dan beberapa individu; diterima 5 Mac; keluarga minta masa meneliti.
- AGC mengarahkan inkues dan perintah menggali semula kubur untuk membolehkan bedah siasat; Zara, 13, meninggal 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina berkata saksi yang akan dipanggil ialah Dr Chua Sze Huang, pakar psikiatri di Hospital Mesra, Bukit Padang, yang dijadual memberi keterangan pada Khamis ini.
Beliau berkata Dr Chua dijangka mengemukakan laporan psikiatri setebal 84 muka surat berhubung keadaan Zara Qairina sebelum insiden malang menimpa remaja itu pada 16 Julai tahun lepas.
“Laporan itu disediakan oleh pakar psikiatri berdasarkan temu bual bersama ibu bapa Zara serta beberapa individu lain. Kami telah menerima laporan berkenaan pada 5 Mac lalu.
“Bagaimanapun, kami memohon sedikit masa untuk meneliti laporan itu sebelum menyoal doktor berkenaan, mungkin dalam bulan ini juga selepas Khamis ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding inkues di sini hari ini.
Shahlan berkata seorang lagi saksi iaitu pakar patologi Datuk Seri Dr Phupinder Singh turut dijadual memberi keterangan pada sesi prosiding inkues seterusnya.
Beliau berkata prosiding inkues minggu ini akan berlangsung sehingga Khamis dan kemudian disambung pada 13 hingga 17 April.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. – BERNAMA