
KUALA LUMPUR, 31 Mac– Ringgit diunjur mengekalkan prestasi positif pada 2026 didorong faktor domestik dan luaran termasuk asas ekonomi yang kukuh serta pembaharuan berterusan.
- BNM menyatakan pergerakan ringgit terus dipengaruhi keadaan pasaran dan perkembangan global.
- Asas ekonomi yang kukuh, kedudukan dolar AS dan faktor domestik menyokong nilai ringgit.
- Komitmen pembaharuan dan lebihan akaun semasa yang kukuh memberi sokongan mampan dan keyakinan pelabur.
- Risiko luaran seperti konflik Asia Barat boleh mempengaruhi pergerakan ringgit melalui sentimen pasaran.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pergerakan mata wang tempatan akan terus ditentukan oleh keadaan pasaran dan perkembangan global.
“Antara faktor yang mengukuhkan ringgit ketika ini termasuk kedudukan dolar Amerika Syarikat serta gabungan faktor domestik yang mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh.
Malaysia juga mempunyai prospek ekonomi yang baik dan faktor ini dijangka terus menyokong prestasi ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2025 (LT 2025).
Turut dibentangkan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 (TEM 2025) serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua Tahun 2025 (TKK ST2 2025).
Mengulas lanjut, beliau berkata komitmen terhadap langkah pembaharuan serta lebihan akaun semasa yang kukuh memberi sokongan mampan kepada ringgit.
Keadaan itu sekali gus mendorong keyakinan berterusan pelabur.
Bagaimanapun, konflik di Asia Barat berpotensi mempengaruhi pergerakan ringgit.
Namun katanya, kesan tersebut lebih dipacu sentimen pasaran.
Menurut beliau, kekuatan asas ringgit yang dibina sejak sekian lama kekal menjadi faktor utama.
Tahun lalu, ringgit muncul mata wang berprestasi terbaik berbanding dolar Amerika Syarikat dan rakan dagangan utama.
Kadar pertukaran efektif nominal (NEER) meningkat sebanyak 6.3 peratus.