Ajinomoto (Malaysia) Berhad, MYKasih Memperkasa
Generasi Masa Depan Menerusi Inisiatif Akuaponik

KUALA LUMPUR, 30 MAC 2026 – Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) dengan kerjasama Yayasan MYKasih, telah melaksanakan inisiatif akuaponik yang berimpak tinggi bagi memperkasa pelajar melalui pembelajaran secara praktikal, serta memupuk kesedaran terhadap kelestarian dan pemakanan sihat.

Berteraskan semangat menyumbang kepada masyarakat, inisiatif ini juga bertujuan berkongsi “Rezeki” serta ilmu pengetahuan dengan komuniti.

Menerusi kerjasama ini, AMB telah menyumbang sebanyak RM15,000 bagi pemasangan sistem akuaponik moden di sebuah sekolah tempatan, sekali gus mengubah idea ringkas menjadi platform pembelajaran yang dinamik. Lebih daripada sekadar kemudahan, sistem ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam pendidikan dengan membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka aplikasi sebenar sains dan pengeluaran makanan.

Inisiatif ini bermula daripada Kempen Merdeka AMB 2025, di mana setiap RM1 yang dikumpulkan daripada penyertaan peraduan telah disalurkan ke dalam dana MYKasih. Hasilnya, sistem akuaponik yang dibangunkan hari ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi simbol sumbangan kolektif rakyat Malaysia yang direalisasikan demi manfaat generasi akan datang.

Berpandukan slogan global Kumpulan Ajinomoto, “Eat Well, Live Well,” projek ini direka untuk memenuhi keperluan sosial melalui pendidikan dan pemakanan. Sistem akuaponik ini berfungsi sebagai “makmal sains hidup” yang membolehkan pelajar memahami hubungan semula jadi antara ikan dan tumbuhan, sambil memperoleh pendedahan praktikal kepada konsep STEM dalam suasana yang interaktif dan menarik.

Pada masa sama, sistem ini turut menyokong kelestarian alam sekitar dengan beroperasi tanpa penggunaan racun kimia serta mengurangkan penggunaan air.

Pendekatan ini membantu memupuk minda “Sayangi Bumi” dalam kalangan pelajar, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar melalui amalan pengeluaran makanan yang bertanggungjawab dan lestari.

Sebagai sebuah syarikat makanan, AMB juga menitikberatkan aspek pemakanan, di mana hasil tuaian sayur-sayuran dan ikan daripada sistem ini membekalkan nutrien penting serta asid amino yang menyokong perkembangan fizikal dan kognitif pelajar.

Pada masa yang sama, inisiatif ini turut mengubah persepsi terhadap bidang pertanian dengan menonjolkannya sebagai sektor moden yang dipacu teknologi, sekali gus memberi inspirasi kepada pelajar untuk meneroka peluang masa depan sebagai inovator dalam industri makanan dan pertanian.

Dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), inisiatif ini memastikan pendidikan dan inovasi bergerak seiring.

Melalui usaha ini, AMB terus memperkukuh komitmennya dalam membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah peka terhadap alam sekitar serta bersedia untuk mencorakkan masa depan yang lebih sihat dan mampan.