Proses sisa plastik haram, sebuah premis di Sungai Petani ditutup

Antara peralatan yang disita JAS Kedah/Foto RTM

Sungai Petani 31 Mac Sebuah premis memproses sisa plastik secara haram di kawasan Perusahaan Taman Ria Jaya, Sungai Petani diarahkan menutup operasi selepas digempur Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 700 'jumbo bag' atau kira-kira 350 metrik tan sisa plastik digunakan sebagai bahan mentah.
  • Ditemui 258 metrik tan produk siap palet plastik dibungkus dalam 10,320 guni, setiap guni anggaran 25 kilogram.
  • Premis menjalankan pembersihan dan penyempritan sisa plastik untuk menghasilkan palet dan beroperasi tertutup.
  • JAS tahan peralatan bawah Seksyen 38(1)(a); sampel dihantar ke Jabatan Kimia; kes disiasat di bawah Seksyen 34A(6).

Pengarah JAS Negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, 700 ‘jumbo bag’ atau kira-kira 350 metrik tan sisa plastik dipercayai digunakan sebagai bahan mentah dalam proses pembuatan turut dirampas.

Jelas beliau, pihak berkuasa turut menjumpai 258 metrik tan produk siap, iaitu palet plastik dipek dalam 10, 320 guni dengan setiap guni dianggarkan seberat 25 kilogram.

Operasi dijalankan hasil pemantauan berterusan pihak penguatkuasa JAS terhadap aktiviti industri yang berpotensi mencemarkan alam sekitar

Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti pembersihan dan penyempritan sisa plastik yang diproses bagi menghasilkan palet plastik.

Premis tersebut beroperasi secara tertutup sepenuhnya bagi mengelakkan kegiatan tersebut dikesan orang awam.

JAS telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan, bawah Seksyen 38 (1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas satu unit mesin penyemprit plastik, sistem kawalan pencemaran udara dan sistem pengolahan effluen industri yang dipercayai digunakan dalam proses pengeluaran di premis berkenaan tanpa kebenaran jabatan tersebut.

Sampel sisa plastik dan produk palet plastik dari premis berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis makmal.

Kes akan disiasat dibawah Seksyen 34A (6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.