Harga minyak cecah AS$200 setong bukan sesuatu yang mustahil

Foto REUTERS

KAHERAH, 31 Mac– Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi memberi amaran bahawa kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak sehingga mencecah AS$200 setong bukan sesuatu yang mustahil untuk berlaku dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gesaan kepada Presiden AS agar menghentikan konflik dengan Iran untuk elak krisis ekonomi global lebih parah.
  • Tindakan menyasarkan kemudahan tenaga boleh menjejaskan ekonomi dunia dan menaikkan harga bahan api secara signifikan.
  • Gangguan eksport baja akan menjejaskan bekalan makanan, menaikkan harga keperluan dan memburukkan krisis sara hidup di negara rapuh dan sederhana.

Sehubungan itu, beliau menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk segera menghentikan peperangan dengan Iran bagi mengelakkan krisis ekonomi global yang lebih parah.

“Saya bimbang tindakan menyasarkan kemudahan tenaga, sama ada pusat pengeluaran mahupun loji penapisan, akan memberikan kesan yang sangat serius terhadap ekonomi dunia dan harga bahan api,” katanya.

Beliau menambah, pemerhati pasaran telah memberi amaran bahawa harga minyak mentah boleh mencecah lebih AS$200 setong dan menyifatkan unjuran tersebut sebagai satu realiti memandangkan situasi konflik di Asia Barat ketika ini.

Berucap pada persidangan Egypt Energy Show 2026 di Kaherah, Sisi menekankan bahawa walaupun negara kaya mungkin mampu menyerap kenaikan kos tersebut, namun bagi ekonomi berpendapatan sederhana dan negara rapuh, ia akan memberi impak yang sangat buruk terhadap kestabilan mereka.

Selain krisis tenaga, Sisi turut memberi amaran mengenai ancaman terhadap bekalan makanan global.

Beliau menyatakan bahawa gangguan kepada eksport baja akan memberikan kesan besar kepada harga barangan keperluan, sekali gus memburukkan lagi krisis sara hidup di peringkat antarabangsa. -REUTERS