Pelarasan kuota BUDI95 langkah praktikal, namun kesan fiskal terhad

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan/RTM

KUALA LUMPUR, 28 Mac -Pelarasan kuota bulanan petrol bersubsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) disifatkan sebagai langkah praktikal dalam mengawal penggunaan subsidi tanpa menjejaskan majoriti rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlindungan golongan rentan perlu diperkukuh melalui peningkatan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan subsidi bersasar.
  • Pelarasan kuota memberi impak fiskal terhad manakala kenaikan harga minyak global boleh mengehadkan ruang perbelanjaan pembangunan.
  • Reformasi struktur perlu dipercepat termasuk mekanisme harga dinamik, peluasan subsidi bersasar dan peralihan tenaga di bawah NETR.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, langkah itu membantu mengurangkan ketirisan subsidi, sekali gus memberi ruang fiskal kepada kerajaan tanpa mencetuskan tekanan inflasi.

“Pada masa sama, perlindungan kepada golongan rentan perlu diperkukuh melalui peningkatan jumlah bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Pendekatan ini lebih efisien kerana ia menyasarkan kumpulan yang benar-benar memerlukan, berbanding mengekalkan subsidi menyeluruh yang mahal dan kurang tepat sasaran,” katanya kepada pemberita RTM.

Bagaimanapun, katanya pelarasan sementara itu memberi kesan terhad kepada fiskal ekonomi negara susulan jurang antara harga bersubsidi dan harga pasaran yang tidak seimbang, khususnya dalam persekitaran harga minyak global yang semakin meningkat.

Beliau berpendapat, peningkatan perbelanjaan subsidi berpotensi mengehadkan ruang kerajaan untuk perbelanjaan pembangunan, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi dalam jangka sederhana.

“Sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dan terus mendorong kenaikan harga minyak mentah Brent, kerajaan perlu meneruskan pelarasan harga secara berperingkat.

Ini penting bagi memulihkan isyarat harga, menggalakkan penggunaan lebih cekap serta mengelakkan kejutan inflasi yang mendadak,” katanya.

Tambah beliau, pelarasan harga secara berperingkat boleh dimulakan dengan kenaikan kecil harga RON95 kepada sekitar RM2.20 hingga RM2.30 seliter, bagi mengurangkan tekanan fiskal tanpa memberi kesan besar kepada pengguna.

Dalam pada itu, Mohd Sedek berpandangan reformasi struktur juga perlu dipercepatkan secara menyeluruh, termasuk pelaksanaan mekanisme harga yang lebih dinamik, peluasan subsidi bersasar serta peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Langkah tersebut, katanya penting bagi memastikan negara lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global pada masa hadapan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan penyelarasan sementara kuota subsidi RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April 2026, susulan ketidaktentuan situasi di Asia Barat.