
KUALA LUMPUR, 27 Mac– Ketidaktentuan rantaian bekalan global semakin ketara susulan konflik di Asia Barat walaupun pergerakan kargo masih berjalan seperti biasa.
- Pelbagaikan laluan logistik dan elakkan kebergantungan pada satu laluan utama untuk mengurangkan risiko kargo terkandas dan kelewatan penghantaran.
- Perkukuhkan kerjasama dengan syarikat perkapalan serta ejen dan tingkatkan perancangan rapi serta pemantauan rantaian bekalan secara masa nyata.
- Nilai semula perlindungan insurans dan tingkatkan komunikasi awal dengan pelanggan mengenai kemungkinan kelewatan serta implikasi kos.
Situasi itu meningkatkan risiko kelewatan serta tempoh penghantaran yang lebih panjang.
Menurut Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF), keadaan semasa memerlukan penyelarasan dan pengurusan risiko lebih rapi dalam kalangan pemain industri.
Presidennya, Datuk Dr Tony Chia Han Teun berkata, pihaknya giat memberi panduan berkaitan laluan penghantaran, dasar syarikat perkapalan serta perlindungan insurans dalam persekitaran berisiko tinggi.
“Perancangan laluan perlu dibuat dengan teliti kerana terdapat pelabuhan yang tidak menerima pemindahan kargo ke kawasan berisiko.
Ia sekali gus boleh menyebabkan kargo terkandas,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, syarikat penghantaran digalakkan mempelbagaikan laluan logistik serta mengelakkan kebergantungan kepada satu laluan utama.
Selain itu, kerjasama dengan syarikat perkapalan dan ejen perlu diperkukuh bagi mengenal pasti alternatif yang lebih berdaya maju.
Dalam masa sama, pemain industri disaran menilai semula perlindungan insurans termasuk klausa jaminan.
Mereka juga perlu meningkatkan komunikasi awal dengan pelanggan berkaitan kemungkinan kelewatan serta implikasi kos.
Sebahagian penggiat industri turut meneroka mod pengangkutan alternatif seperti koridor rel Eurasia bagi kargo tertentu.
Namun, pendekatan itu masih terhad berikutan kos yang lebih tinggi serta kapasiti yang terhad.
“Keupayaan menyesuaikan diri dan kecekapan perkhidmatan akan menjadi penentu daya saing.
Ia termasuk penggunaan laluan fleksibel dan pemantauan rantaian bekalan secara masa nyata,” ujarnya lagi.
Malaysia juga kekal mempunyai kelebihan strategik berdasarkan kedudukannya di laluan perdagangan utama dunia, khususnya Selat Melaka.