
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang memantau rapi perkembangan konflik di Asia Barat bagi menilai kesannya terhadap sektor pelancongan negara.
- MOTAC merangka strategi proaktif bagi memastikan sasaran pelancongan tetap tercapai.
- Pemasaran dilaraskan tumpu kepada negara yang tidak terjejas konflik untuk menarik pelancong.
- Patuh nasihat perjalanan Wisma Putra; waspada pakej haji dan umrah mencurigakan, semak lesen Tabung Haji.
Ketua Setiausahanya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata meskipun terdapat sedikit impak susulan ketegangan melibatkan Iran dan Amerika Syarikat, kementerian telah merangka strategi proaktif bagi memastikan sasaran pelancongan negara tetap tercapai.
Menurut beliau, antara langkah yang diambil ialah melaraskan strategi promosi dan pemasaran dengan memberi tumpuan kepada negara yang tidak terjejas oleh konflik berkenaan.
“Kita akan melakukan sedikit pelarasan dari segi strategi pemasaran supaya tumpuan lebih diberikan kepada negara yang tidak terlibat dengan peperangan bagi menarik pelancong dari sana ke Malaysia.
“Pada masa sama, kita akur dengan nasihat perjalanan (travel advisory) yang dikeluarkan oleh Wisma Putra untuk menangguhkan sebarang program di negara-negara yang terlibat dalam konflik tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama ahli Puspanita MOTAC.
Sementara itu, Shaharuddin turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pakej haji dan umrah yang mencurigakan bagi mengelakkan kes penipuan.
Beliau menegaskan masyarakat tidak seharusnya mudah terpedaya dengan pakej yang ditawarkan pada harga terlalu rendah atau tidak munasabah.
“MOTAC sentiasa melaksanakan program kesedaran dan sesi libat urus bersama persatuan serta syarikat pengendali umrah supaya mereka memberikan maklumat yang jelas kepada masyarakat.
“Bagi urusan haji, hanya syarikat yang dilesenkan oleh Tabung Haji sahaja dibenarkan. Kita minta masyarakat lebih prihatin dan membuat semakan teliti dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang urusan berkaitan,” katanya.