
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan simpati dan sokongan Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut terkesan akibat tindakan balas Iran susulan serangan Israel bersama Amerika Syarikat (AS).
- Perdana Menteri dan Presiden UAE bertukar pandangan menerusi perbualan telefon mengenai perkembangan keselamatan serantau.
- Malaysia menyeru semua pihak mengutamakan pendekatan damai dan mengelakkan tindakan yang menggugat kestabilan dan keamanan sejagat.
- Anwar menghargai komitmen UAE menjamin keselamatan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia serta berharap Ramadan memperkukuh kesatuan dan keamanan.
Beliau menerusi hantaran di Facebook menyatakan perkara itu sewaktu perbualan telefon dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di rantau Timur Tengah, khususnya situasi keselamatan serantau berikutan konflik yang melibatkan Israel, AS dan Iran.
“Kami senada menzahirkan harapan agar semua pihak mengutamakan pendekatan damai serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan sejagat.
“Saya turut menghargai komitmen kerajaan UAE untuk menjamin keselamatan dan kebajikan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia yang kini berada di UAE,” menurut hantaran itu.
Perdana Menteri turut berharap agar bulan Ramadan yang mulia ini memperkukuh kesatuan ummah serta membuka ruang kepada keamanan dan kestabilan yang lebih berkekalan di rantau itu dan dunia.
Ketegangan di Asia Barat meningkat apabila AS dan Israel melancarkan serangan pada 28 Februari lalu ke atas Iran, dengan Israel menyifatkannya sebagai ‘serangan awal’ terhadap musuh ketatnya bagi ‘menghapuskan ancaman’.