
LOS ANGELES, 19 Februari – Ketua Pegawai Eksekutif Meta Platforms, Mark Zuckerberg, menegaskan syarikat itu tidak membenarkan kanak-kanak bawah 13 tahun menggunakan platformnya.
- Zuckerberg menegaskan Meta tidak benarkan kanak-kanak bawah 13 tahun meskipun bukti dalaman mencadangkan sebaliknya.
- Peguam plaintif kemukakan dokumen menunjukkan Meta membincangkan versi Instagram untuk kanak-kanak tetapi tidak diteruskan.
- Plaintif dakwa Instagram menyumbang kepada kemurungan dan pemikiran bunuh diri, menuntut syarikat dipertanggungjawabkan.
- Zuckerberg pertahankan kenyataan, kata sukar pengesahan umur dan perubahan pendekatan Meta kini lebih bertanggungjawab.
Zuckerberg berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan penting berkaitan ketagihan media sosial remaja, pada Rabu.
Syarikat itu berdepan bukti yang menunjukkan golongan tersebut merupakan demografi utama bagi Facebook dan Instagram.
Peguam plaintif, Mark Lanier, mempersoalkan kenyataan Zuckerberg kepada Kongres pada 2024 bahawa pengguna bawah 13 tahun tidak dibenarkan di platform berkenaan, sambil mengemukakan dokumen dalaman Meta.
Kes itu melibatkan seorang wanita dari California yang mula menggunakan Instagram dan YouTube ketika masih kanak-kanak.
Beliau mendakwa syarikat terbabit cuba meraih keuntungan dengan “memerangkap” kanak-kanak menggunakan perkhidmatan mereka walaupun mengetahui kesan buruk media sosial terhadap kesihatan mental.
Plaintif turut mendakwa aplikasi berkenaan menyumbang kepada kemurungan dan pemikiran bunuh diri, serta menuntut syarikat dipertanggungjawabkan.
Bagaimanapun, Meta dan Google menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan mereka telah memperkenalkan pelbagai ciri keselamatan pengguna.
Zuckerberg berkata peguam plaintif telah “salah mentafsir” kenyataannya, sambil menambah Meta pernah membincangkan pembinaan versi Instagram untuk kanak-kanak bawah 13 tahun, namun rancangan itu tidak diteruskan.
Meta berdepan kemungkinan membayar ganti rugi dalam perbicaraan juri di Los Angeles, sebahagian daripada gelombang tindakan undang-undang terhadap syarikat media sosial di Amerika Syarikat berhubung kesan platform terhadap pengguna muda.
Dalam satu emel, bekas Naib Presiden Hal Ehwal Global Meta, Nick Clegg, memaklumkan kepada Zuckerberg bahawa had umur platform “tidak dikuatkuasakan”, dan perbezaan dasar antara Instagram dan Facebook menyukarkan syarikat mendakwa telah melakukan yang terbaik.
Zuckerberg menjawab bahawa sukar bagi pembangun aplikasi mengesahkan umur pengguna dan tanggungjawab itu sepatutnya dipikul pengeluar peranti mudah alih.
Beliau juga ditanya mengenai kenyataannya kepada Kongres bahawa beliau tidak pernah memberi sasaran kepada pasukan Instagram untuk memaksimumkan masa penggunaan aplikasi.
Peguam plaintif mengemukakan emel 2014 dan 2015 yang menunjukkan sasaran meningkatkan masa penggunaan aplikasi.
Zuckerberg menegaskan pendekatan Meta kini telah berubah dan mempertahankan keterangannya sebagai tepat.
Perbicaraan tersebut merupakan kali pertama pengasas Facebook itu memberi keterangan di mahkamah mengenai kesan Instagram terhadap kesihatan mental pengguna muda. – REUTERS