
SERDANG, 19 Februari – Pelantikan Datuk Seri Jailani Johari sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Putra Malaysia (UPM) selaras usaha memperkukuh Agenda Pertanian untuk Rakyat (PUTRA) dan Kesihatan Planet (Planetary Health) yang menjadi teras UPM sebagai penjana ekonomi penting negara.
- Pelantikan Datuk Seri Jailani Johari sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UPM memperkukuh Agenda PUTRA dan Kesihatan Planet universiti.
- Pengalaman kepengurusan politik, korporat dan perundangan beliau diharapkan memacu kerjasama akademia, industri dan masyarakat.
- Beliau dikenali sebagai profesional hibrid yang membina polisi, dokumentasi dan sistem pengurusan strategik untuk pembangunan negara.
Penganalisis Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ts. Dr. Syed Agil Alsagoff berharap dengan pelantikan itu, UPM akan terus melestarikan agenda dasar penting negara yang memberi manfaat sepenuhnya kepada dunia akademia, rakan industri, masyarakat dan negara.
“Pengalaman kepengurusan beliau ternyata mendapat perhatian dan penghargaan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir yang sememangnya tepat pada masanya meletakkan beliau untuk berkongsi pengalaman pengurusan politik dan korporat yang pernah beliau lalui, untuk menjelmakan UPM sebagai peneraju Agenda Pertanian untuk Rakyat (PUTRA) dan Kesihatan Planet (Panetary Health),” katanya kepada RTM.
Berkuat kuasa pada 7 Februari lalu, Datuk Seri Jailani telah diberi kepercayaan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menerajui UPM sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU).
Menurut Ts. Dr. Syed Agil Alsagoff, jika dirumuskan, perjalanan Datuk Sri Jailani Johari melangkaui keterbatasan dalam bidang guaman dan perundangan, pengurusan korporat, arkitek polisi dan menyifatkan beliau adalah seorang ahli politik yang berwibawa.
“Beliau adalah contoh klasik “hybrid elite professional”, iaitu individu yang tidak terperangkap dalam satu sektor, tetapi membina nilai dengan merentas sistem.
“Datuk Sri Jailani bukanlah nama asing yang dikenali sebagai tokoh yang sering muncul dalam landskap perundangan,korporat,polisi dan politik tanah air. Beliau mewakili satu generasi profesional yang membina negara bukan dengan retorik, tetapi dengan dokumentasi, polisi dan sistem pengurusan strategik,” katanya.
Menelusuri perjalanan kerjayanya, anak kelahiran Selangor dan dibesarkan di Ajil Terengganu pada tahun 1965, antara segelintir tokoh yang benar-benar berjaya merentas tiga dunia besar secara serentak, iaitu undang-undang, korporat dan pentadbiran negara.
Berkelulusan Undang-Undang dari Universiti Malaya, beliau diterima sebagai Advocate & Solicitor di Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1989. Pada awal kerjayanya, Datuk Seri Jailani terlibat dalam pelbagai kes litigasi jenayah, sivil dan komersial.
Pada akhir tahun 1990-an, beliau menyertai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi baharu yang dibentuk untuk mengawal selia era digital negara.
Beliau adalah antara perintis utama yang terlibat dalam Penggubalan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Communications and Multimedia Act 1998), Akta Tandatangan digital (Signature Digital Act) dan Akta Perlindungan Data serta Regulasi Perkhidmatan Pos dan Telekomunikasi.
Dalam kerjaya politik pada tahun 2013, beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen Hulu Terengganu sehingga tahun 2018. Kewibawaan beliau sebagai pemimpin terserlah apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia selama 5 tahun bermula tahun 2013.
Selepas meninggalkan kerajaan, Jailani kembali ke sektor swasta, tetapi bukan sebagai peguam biasa, namun sebagai penasihat strategik, pengarah bebas dan managing partner firma undang-undang.
Antara peranan penting beliau ialah General Manager, Corporate Services – Great Eastern Life Malaysia, Managing Partner – Messrs Jailani & Sheni Independent Director – Berjaya Assets Berhad, Ahli Lembaga di UPM dan institusi awam.