
MIRI, 19 Februari – Sebanyak 10 motosikal disita manakala seorang penunggang berusia 22 tahun ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan sekitar Miri, malam tadi.
- Operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Balai Polis Pusat Miri di beberapa lokasi tumpuan.
- 72 lelaki dan 10 perempuan bersama 55 motosikal diperiksa sepanjang operasi.
- 95 saman dikeluarkan untuk kesalahan seperti lesen tamat, nombor pendaftaran palsu, ubah suai ekzos dan tiada cermin sisi.
- Seorang ditahan di bawah Seksyen 108(3)(f) dan 10 motosikal disita untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi bermula pukul 6 petang semalam hingga 3 pagi tadi dilaksanakan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bersama Balai Polis Pusat Miri.
Menurut beliau, operasi dijalankan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Piasau, Jalan Pujut, Jalan Tanjong, Jalan Miri By Pass dan kawasan Marina.
“Seramai 72 lelaki dan 10 perempuan tempatan bersama 55 motosikal diperiksa sepanjang operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 95 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik antaranya lesen kenderaan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, penggunaan plat nombor ‘fancy’, tiada lesen memandu, ubah suai ekzos serta tiada cermin sisi.
Dalam operasi sama, seorang penunggang motosikal tempatan berusia 22 tahun ditahan di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.
Selain itu, 10 motosikal disita di bawah Seksyen 64 akta yang sama untuk tindakan lanjut.
Mohd Farhan menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dan menunggang secara berhemah serta tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.