Pasaran saham Asia ditutup tinggi

Foto arkib AFP

TOKYO, 18 Februari – Kebanyakan pasaran saham Asia ditutup lebih tinggi pada Rabu, manakala pasaran minyak kekal berhati-hati selepas harga susut susulan reaksi positif Tehran terhadap rundingan dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) berhubung program nuklear Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasaran saham Asia umumnya ditutup lebih tinggi, disokong sentimen pelaburan dan perkembangan global.
  • Tokyo naik 1.0% selepas pengumuman fasa pertama pelaburan Jepun daripada komitmen AS$550 bilion.
  • Minyak kekal berhati-hati; WTI dan Brent meningkat sedikit selepas reaksi positif Iran terhadap rundingan nuklear dengan AS.
  • Perhatian pelabur juga tertumpu pada AI dan projek infrastruktur serta syarikat terlibat penjanaan gas dan eksport minyak.

Tokyo melonjak 1.0 peratus selepas Washington mengumumkan fasa pertama pelaburan Jepun daripada komitmen besar berjumlah AS$550 bilion yang dijanjikan Tokyo menerusi perjanjian perdagangan dengan Presiden AS, Donald Trump.

Sydney turut mencatat kenaikan, namun sempena cuti Tahun Baharu Cina, dagangan di Hong Kong, Shanghai, Seoul dan Taipei ditutup. Dalam pasaran komoditi, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat 0.1 peratus kepada AS$62.40 setong, manakala Brent naik 0.1 peratus kepada AS$67.51 setong.

Harga minyak sebelum ini merosot pada Selasa selepas Iran dilihat optimis susulan rundingan dengan AS. Perkembangan itu menyusuli kenaikan terdahulu apabila Trump meningkatkan tekanan terhadap Iran, pengeluar utama minyak mentah dunia.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyatakan rundingan membuka peluang baharu ke arah penyelesaian berkekalan, namun menegaskan Iran sedia mempertahankan diri daripada sebarang ancaman.

Pengumuman pelaburan awal Jepun memperincikan komitmen AS$36 bilion bagi tiga projek infrastruktur, ketika negara itu berdepan tekanan untuk menunaikan janji yang dibuat pada 2025 sebagai pertukaran kepada pengurangan tarif perdagangan AS.

Penganalisis Tokai Tokyo Intelligence berkata pelabur dijangka memberi tumpuan kepada syarikat Jepun yang terlibat dalam penjanaan kuasa berasaskan gas, eksport minyak mentah dan pengeluaran berlian sintetik – sektor yang menjadi sasaran pelaburan awal AS itu.

Sementara itu, pedagang turut memantau perkembangan kecerdasan buatan (AI) minggu ini ketika ketua eksekutif syarikat teknologi dan pemimpin global menghadiri Sidang Kemuncak Impak AI di New Delhi.

Sidang kemuncak selama lima hari itu disifatkan sebagai edisi terbesar setakat ini, bertujuan merangka ‘pelan hala tuju bersama bagi tadbir urus dan kerjasama AI global’.

Walaupun permintaan tinggi terhadap AI generatif telah melonjakkan keuntungan banyak syarikat teknologi, kebimbangan semakin meningkat terhadap risiko yang dibawanya kepada masyarakat dan alam sekitar.- AFP