
KRUBONG,18 Februari – Program Jelajah Ramadan RTM 2026 menjadi platform terbaik bagi Jabatan Tenaga Atom mendekati masyarakat sekali gus memperkenalkan peranannya sebagai badan penguat kuasa tenaga atom di negara ini.
- Penerangan peranan Jabatan Tenaga Atom sebagai badan penguat kuasa bagi keselamatan dan kawalan penggunaan tenaga atom.
- Inisiatif Jelajah Ramadan mendekati komuniti untuk meningkatkan kefahaman dan membetulkan persepsi negatif terhadap nuklear.
- Jabatan memastikan keselamatan sinaran dan pematuhan peraturan bahan radioaktif serta teknologi berkaitan.
Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Atom, Nor Faezah Rabani berkata, inisiatif itu penting untuk meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap fungsi jabatan berkenaan, khususnya dalam aspek penguatkuasaan dan keselamatan penggunaan tenaga atom.
Menurut beliau, pihaknya mahu membetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap penggunaan nuklear yang sering dikaitkan dengan risiko berbahaya.
“Harapan kami, ini adalah peluang untuk menyampaikan peranan Jabatan Tenaga Atom sebagai badan penguat kuasa. Selain itu, kami juga mahu membetulkan persepsi negatif terhadap nuklear supaya masyarakat tidak lagi berasa takut,” katanya.
Tambahnya, jabatan tersebut bertanggungjawab memastikan keselamatan sinaran serta mengawal penggunaan bahan radioaktif dan teknologi berkaitan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau ditemui pada Program Jelajah Ramadan RTM 2026 yang berlangsung di perkarangan Masjid Cina Negeri Melaka Al-Muttaqin, di sini.
Program berkenaan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi menyampaikan maklumat dan mendekati komuniti setempat sepanjang bulan Ramadan.