
KOTA BHARU, 17 Februari- Tiga pemandu bas ekspres dikesan positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing dalam Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 (Op TBC 2026) yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 9 Februari lalu.
- Tiga pemandu bas ekspres dikesan positif syabu selepas ujian saringan air kencing dalam Op TBC 2026.
- 381 pemandu bas diperiksa bersama AADK, dengan tiga gagal saringan dan diserahkan untuk tindakan lanjut.
- JPJ memeriksa 4,242 bas, mengeluarkan 779 slip pemeriksaan dan menyita dua bas atas ketidakpatuhan keselamatan.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Jazmanie Shafawi berkata keputusan itu diperoleh hasil pemeriksaan terhadap 381 pemandu bas dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Beliau berkata ketiga-tiga pemandu berkenaan didapati positif dadah jenis syabu membabitkan dua kes di Seremban, Negeri Sembilan dan satu kes di Kuantan, Pahang sebelum diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.
“Sepanjang tempoh operasi, seramai 381 pemandu menjalani ujian saringan bersama AADK dan daripada jumlah itu tiga pemandu didapati gagal saringan. Tindakan lanjut telah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya pada sidang media Op TBC 2026 di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, malam tadi.
Sehingga 16 Februari, JPJ memeriksa 4,242 bas di depoh dan terminal seluruh negara dengan 779 slip pemeriksaan dikeluarkan, manakala dua bas disita atas ketidakpatuhan terhadap keperluan keselamatan dan perundangan.
Beliau berkata sebanyak 7,414 notis P22 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya membabitkan penunggang motosikal selepas 41,332 motosikal diperiksa, dengan 103 daripadanya disita.
Bagi kenderaan barangan, 106 tindakan penguatkuasaan direkodkan di seluruh negara dengan Negeri Sembilan mencatatkan 35 kes, diikuti Selangor (16), Pulau Pinang (15), Perak (12) dan Terengganu (9).